DUNIA > BERITA

BELANDA, AUSTRALIA GESA ICAO DESAK RUSIA MULAKAN RUNDINGAN INSIDEN MH17

13/05/2025 11:06 AM

THE HAGUE, 13 Mei (Bernama-TASS) -- Belanda dan Australia menggesa Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) supaya mendesak Rusia memulakan rundingan berhubung insiden tembakan jatuh terhadap pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014, lapor agensi berita TASS.

“Kami meminta Majlis ICAO mengenakan kewajipan ke atas Persekutuan Rusia untuk memulakan rundingan dengan Belanda dan Australia mengenai perkara ini serta menyelia proses tersebut,” menurut Kementerian Luar Belanda dalam kenyataan.

Menurut kerajaan Belanda, Majlis ICAO telah memutuskan pada Ahad bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap nahas pesawat MH17 dan telah melanggar Konvensyen Chicago 1944 mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa.

Menteri Luar Belanda Caspar Veldkamp menyambut baik keputusan itu, dan menegaskan bahawa ICAO kini perlu meneliti kemungkinan pampasan.

Agensi berita Rusia TASS melaporkan pihaknya telah menghantar pertanyaan rasmi kepada ICAO berhubung keputusan tersebut namun belum menerima sebarang maklum balas pada masa laporan itu.

Pada Jun 2024, Rusia menarik diri daripada prosiding ICAO berkaitan pertikaian dengan Australia dan Belanda atas alasan badan itu tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa yang disifatkannya sebagai “tuduhan rekaan”.

Kementerian Luar Rusia mengulangi pendirian bahawa ia tidak mengiktiraf bidang kuasa ICAO mengenai perkara ini mahupun sebarang keputusan yang dibuat selepas itu.

Penerbangan Malaysia Airlines MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur,  ditembak jatuh di wilayah Donetsk, Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 orang di dalam pesawat.

Mangsa terdiri daripada warga 10 negara.

Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang melibatkan Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan jenayah terhadap insiden itu.

Pihak berkuasa Rusia secara konsisten mempertikai penemuan JIT, dengan mendakwa siasatan tersebut tidak disokong bukti yang kukuh dan enggan mengambil kira hasil siasatan pihak Rusia sendiri.

ICAO, sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempunyai 193 negara anggota.

Undian berhubung keputusan MH17 itu diadakan secara tertutup dan keputusan penuh belum didedahkan.

-- BERNAMA-TASS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan