AM > BERITA

Nahas FRU: Kerosakan Lori Tidak Patut Berlaku Jika Ujian Puspakom Dipatuhi - Ahmad Zahid

13/05/2025 07:51 PM

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Nahas maut membabitkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak boleh dielakkan jika lori yang terlibat menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) secara ketat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata siasatan awal mendapati lori berkenaan mengalami kerosakan yang menyebabkan sistem steringnya tidak berfungsi dan itu adalah perkara yang tidak akan berlaku jika kenderaan tersebut menjalani pemeriksaan secara berkala. 

"Tidak seharusnya berlaku jika kenderaan itu telah melalui ujian Puspakom. Untuk itu, kita bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada pemandu lori tetapi tuan punya syarikat juga harus dipertanggungjawabkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) di sini hari ini. 

Pada 8.50 pagi tadi, sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi cedera parah selepas trak yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam.

Ahmad Zahid juga berkata kerajaan akan segera memasang lampu jalan di beberapa jajaran lebuh raya yang dikenal pasti sebagai kawasan bagi kemalangan maut.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) hari ini. 

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berkata jawatankuasa tersebut bersetuju bahawa langkah drastik perlu diambil bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Malaysia disebabkan jumlah kenderaan yang tinggi.

 "Fakta yang sedang kita hadapi ialah Malaysia mempunyai 34.1 juta penduduk tetapi mempunyai 38.7 juta kenderaan... ertinya, jumlah kenderaan melebihi jumlah penduduk dan mungkin ini menjadi penyumbang kepada faktor kesesakan jalan raya dan kemalangan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata antara langkah yang akan diambil ialah penambahan laluan khas bas di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Penambahan lorong bas ini bukan hanya menggalakkan penggunaan pengangkutan awam tetapi ia juga akan dapat mengurangkan jumlah kenderaan melalui kawasan yang sesak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan