DUNIA > BERITA

MEXICO FAILKAN SAMAN TERHADAP GOOGLE KERANA TUKAR NAMA GULF OF MEXICO

10/05/2025 05:41 PM

MEXICO CITY, 10 Mei (Bernama-dpa) – Mexico telah memfailkan saman terhadap syarikat gergasi internet Google berhubung pelabelan "Gulf of America" dalam perkhidmatan Peta Google, kata Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Jumaat.

Sheinbaum tidak banyak memperincikan butiran saman itu semasa sidang media hariannya. Google juga belum mengeluarkan sebarang komen, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pada Februari lalu, Google menukar nama Gulf of Mexico kepada Gulf of America bagi pengguna di Amerika Syarikat selepas Kerajaan AS secara unilateral menamakan semula kawasan perairan itu.

Bagi pengguna di luar AS, kedua-dua nama berkenaan masih dipaparkan.

Presiden AS ketika itu, Donald Trump, mengarahkan penamaan semula kawasan perairan di pantai selatan AS dan Pantai Timur Mexico sebagai menghormati “kehebatan Amerika” sejurus selepas beliau memegang jawatan.

Nama semasa bagi teluk di pantai selatan AS itu telah digunakan sejak abad ke-16.

Perairan berkenaan meliputi negeri-negeri AS seperti Texas, Louisiana, Mississippi, Alabama dan Florida, selain turut bersempadan dengan Mexico dan Cuba. Menurut dekri Trump, penukaran nama itu terpakai sehingga ke sempadan maritim Mexico dan Cuba.

--BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan