DUNIA > BERITA

SYARIKAT INDUK BRITISH AIRWAYS BELI 32 PESAWAT BOEING DARI AS SUSULAN PERJANJIAN PERDAGANGAN

09/05/2025 07:27 PM

LONDON, 9 Mei (Bernama-PA Media/dpa) -- Syarikat induk British Airways membeli 32 pesawat Boeing baharu dari Amerika Syarikat susulan perjanjian perdagangan antara negara itu dan United Kingdom pada Khamis, lapor PA Media/dpa.

International Airlines Group (IAG) mengesahkan tempahan pesawat Boeing 787-10 untuk Kumpulan BA, bersama 21 pesawat Airbus untuk syarikat penerbangan lain di bawah kumpulan itu, pada pagi Jumaat.

AS dan UK memaklumkan yang mereka mencapai perjanjian yang disifatkan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, sebagai "bersejarah" pada Khamis, yang menyaksikan cukai import Amerika terhadap barangan Britain seperti kereta dan keluli sama ada dikurangkan atau dimansuhkan sepenuhnya.

Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick pada Khamis berkata, enjin pesawat dan alat ganti pesawat lain juga akan dikecualikan daripada tarif perdagangan sebagai sebahagian perjanjian.

“Kami bersetuju untuk membenarkan enjin Rolls-Royce dan alat ganti pesawat seumpamanya dibawa masuk tanpa tarif,” katanya.

Beliau memberitahu media, sebuah syarikat penerbangan Britain yang tidak dinamakan bersetuju untuk membeli pesawat Boeing bernilai US$10 bilion sejurus perjanjian itu dimeterai.

IAG tidak mendedahkan jumlah bayaran bagi pembelian pesawat itu dalam pengumuman pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Luis Gallego berkata tempahan itu adalah "penanda aras" bagi konglomerat itu dan akan "mengukuhkan pasaran teras kami" dalam tempoh sedekad akan datang.

Tempahan pesawat Boeing itu dilihat sebagai petanda awal pengurangan ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara, selepas Presiden Donald Trump mengenakan tarif import sekurang-kurangnya 10 peratus terhadap semua barangan Britain pada awal April lepas.

Menurut IAG, pesawat Boeing berkenaan akan menggunakan enjin buatan General Electric dari Amerika Syarikat, manakala pesawat Airbus akan menggunakan enjin Rolls-Royce buatan Britain.

Industri penerbangan sebelum ini menggesa pentadbiran Trump agar membenarkan pesawat dan alat gantinya dikecualikan secara penuh atau sebahagian daripada rejim tarif global.

Perjanjian perdagangan pada Khamis itu akan menyaksikan tarif import 10 peratus yang dikenakan secara menyeluruh oleh Trump sebagai sebahagian pengumuman "hari pembebasan" selagi ia berkuat kuasa, namun rundingan masih berlangsung dalam usaha UK untuk melonggarkannya.

-- BERNAMA-PA Media/dpa



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan