BEIJING, 7 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping saling bertukar ucapan tahniah dengan Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa.
Xi menyifatkan hubungan China-EU menjadi antara hubungan dua hala yang paling berpengaruh di dunia, menyumbang kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat China dan Eropah serta menggalakkan keamanan dan pembangunan global.
“Saya amat mementingkan hubungan China-EU dan bersedia bersama-sama dengan Presiden Costa dan Presiden Ursula von der Leyen memanfaatkan peluang ini, membuat rumusan dan menimba pengalaman tentang pembangunan hubungan China-EU, meningkatkan komunikasi strategik, memperkukuh persefahaman dan kepercayaan, meningkatkan keterbukaan antara kedua-dua pihak, dan menangani perbezaan secara berhemah demi membuka lembaran baharu hubungan masa depan.
“China dan EU perlu berpegang teguh pada amalan multilateralisme, mempertahankan keadilan dan kesaksamaan, menentang amalan unilateralisme dan pembulian, bekerjasama menghadapi cabaran global, serta bersama-sama mendorong multipolar yang seimbang dan teratur serta mengamalkan nilai-nilai universal dalam globalisasi ekonomi yang inklusif demi menyumbang kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran dunia,” kata Xi.
Sementara itu, pemimpin EU menyatakan bahawa EU bersedia memperkukuh perkongsian dengan China, meningkatkan interaksi dan kerjasama, memelihara prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta bersama-sama menangani cabaran dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kemakmuran dan pembangunan mampan di peringkat global.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri China Li Qiang turut bertukar ucapan tahniah dengan Costa dan von der Leyen.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial