DUNIA > BERITA

CHINA AIRLINES BATAL PENERBANGAN SUSULAN PENUTUPAN RUANG UDARA PAKISTAN

07/05/2025 09:23 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 7 Mei (Bernama) -- China Airlines telah membatalkan dan mengubah laluan tiga penerbangan menuju dan kembali dari  Eropah susulan penutupan ruang udara Pakistan pada Selasa (6 Mei).

Syarikat penerbangan itu membatalkan penerbangan CI81 (Taoyuan ke London) pada Rabu, manakala penerbangan CI67 (Taoyuan ke Prague) dan CI75 (Taoyuan ke Rom) dibatalkan pada Selasa.

China Airlines memaklumkan bahawa pada 6 Mei, penerbangan CI61 (Taoyuan - Frankfurt) dan CI73 (Taoyuan - Amsterdam) telah dilencongkan ke Bangkok, manakala penerbangan CI82 (London -Taoyuan) telah dilencongkan ke Prague. Ketiga-tiga penerbangan berkenaan menjalani pertukaran kru dan mengisi bahan api di lokasi lencongan masing-masing sebelum kembali ke Taiwan.

“Penerbangan ini akan meneruskan perjalanan ke destinasi asal sebaik laluan baharu dirancang bagi mengelak kawasan yang terjejas.

China Airlines telah mengaktifkan protokol berkaitan bagi menghadapi keadaan luar jangka akibat konflik India-Pakistan,” menurut kenyataan di laman sesawang syarikat itu pada Rabu.

Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan bahawa ia akan terus memantau keadaan semasa dan menyesuaikan jadual penerbangan mengikut keperluan.

 Sementara itu, semakan Bernama di laman sesawang Air China mendapati penerbangan ke Eropah dan Islamabad di Pakistan masih beroperasi mengikut jadual.

“Kami sedang memantau rapi situasi semasa dan buat masa ini, semua penerbangan beroperasi seperti dijadualkan,” kata seorang pegawai Air China ketika dihubungi Bernama.

Mengulas kesan kepada warga China di rantau terbabit atau operasi syarikat penerbangan China yang melalui ruang udara antara India dan Pakistan, jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata pada Rabu bahawa negara itu sedang mengikuti perkembangan semasa dengan teliti.

“Kami menasihatkan warga dan institusi China di kawasan berkaitan supaya sentiasa berwaspada terhadap situasi tempatan, meningkatkan tahap keselamatan, dan mengelak daripada melakukan perjalanan ke kawasan yang terlibat dalam konflik,” katanya seperti dipetik oleh Global Times.

Ketegangan antara India dan Pakistan tercetus susulan serangan pada 22 April di Pahalgam, Kashmir di bawah  pentadbiran India, yang mengorbankan 26 orang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan