DUNIA > BERITA

PRU2025 SINGAPURA: PENGUNDIAN TAMAT, PENGIRAAN UNDI BERMULA DENGAN KIRAAN SAMPEL

03/05/2025 10:50 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 3 Mei (Bernama) -- Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum Singapura (PRU2025) tamat pada 8 malam Sabtu, dengan pengiraan undi dijangka bermula serta-merta.

Satu kiraan sampel akan dijalankan pada permulaan proses pengiraan bagi memberikan petunjuk awal tentang kemungkinan keputusan bagi setiap bahagian pilihan raya.

Menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD), kiraan sampel bertujuan mengelakkan spekulasi dan maklumat tidak tepat semasa proses pengiraan berlangsung.

Ia juga membantu pegawai pilihan raya mengesahkan keputusan akhir bagi bahagian tersebut.

Dalam kemas kini terbaru, ELD melaporkan lebih 2.16 juta rakyat Singapura, atau 82 peratus daripada 2,627,026 pengundi layak di semua bahagian pilihan raya yang dipertandingkan, telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 5 petang.

Semasa proses pengiraan undi, calon, penyokong dan orang awam dibenarkan berkumpul di lima stadium untuk menantikan keputusan.

Tempat-tempat ini akan dibuka dari 8 malam sehingga 30 minit selepas keputusan akhir diumumkan.

Polis telah mengeluarkan permit untuk perhimpunan di Stadium Bedok, Stadium Bukit Gombak dan Stadium Yio Chu Kang bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP); Stadium MOE (Evans) bagi Parti Demokratik Singapura (SDP); dan Stadium Serangoon bagi Parti Pekerja (WP).

Sebanyak 11 parti politik dan dua calon bebas bertanding untuk merebut baki 92 kerusi parlimen di 32 kawasan pilihan raya, selepas PAP memenangi lima kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan