DUNIA > BERITA

HARI KEBEBASAN AKHBAR SEDUNIA: ISRAEL TERUS SASAR, SENYAPKAN WARTAWAN GAZA

03/05/2025 05:14 PM

GAZA CITY (Palestin), 3 Mei (Bernama-Anadolu) -- Ketika dunia memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, wartawan Palestin di Gaza terus melaksanakan tanggungjawab profesional dan kemanusiaan mereka untuk melaporkan mengenai perang genosid oleh Israel sejak 7 Okt 2023, meskipun berdepan ancaman pengeboman, tembakan penembak tepat dan penahanan.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa situasi itu berlaku dalam suasana sepi daripada masyarakat antarabangsa dan institusi global yang memperjuangkan hak wartawan - satu sikap yang menurut badan kerajaan dan hak asasi manusia, menggalakkan Israel meneruskan jenayahnya.

Sejak serangan bermula, Israel telah membunuh 212 wartawan Palestin termasuk 13 wanita, dalam apa yang disifatkan oleh Pejabat Media Kerajaan Gaza sebagai “pembunuhan terancang”.

Angka itu merupakan jumlah korban tertinggi wartawan yang direkodkan di peringkat global sejak data direkodkan pada 1992, menurut Pusat Hak Asasi Manusia Palestin pada 26 April.

Badan hak asasi manusia dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sering mengecam serangan terhadap wartawan di Gaza tetapi gagal mengambil tindakan untuk melindungi mereka atau menjamin kebebasan media.

Setakat 25 April, tentera Israel telah membunuh 212 wartawan di Gaza sebagai sebahagian daripada serangan terhadap orang awam.

Pejabat Media Kerajaan Gaza dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kesemua pembunuhan itu berlaku sejak 7 Okt 2023.

Pengarah pejabat itu, Ismail Al-Thawabta, memberitahu Anadolu bahawa mangsa termasuk wartawan tempatan, wartawan agensi berita dan koresponden saluran antarabangsa.

Beliau menambah bahawa Israel turut mencederakan 409 wartawan, menahan 48 dan membunuh 21 aktivis media berprofil tinggi yang terkenal dengan laporan mereka di media sosial.

Thawabta menjelaskan bahawa Israel turut menyasarkan ahli keluarga wartawan, termasuk membunuh anggota 28 keluarga media dan memusnahkan 44 kediaman wartawan sama ada secara sebahagian atau keseluruhan.

Beliau menyifatkan serangan sistematik terhadap wartawan sebagai “jenayah terancang yang tergolong dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan”, bertujuan “menyekat kebenaran dan menghalang dokumentasi mengenai genosid dan pembersihan etnik yang berterusan” terhadap orang awam Palestin.

Thawabta mengecam pembunuhan wartawan, pengeboman pejabat media dan sekatan terhadap liputan sebagai “pelanggaran nyata” terhadap Konvensyen Geneva dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dengan jelas menuntut perlindungan wartawan di zon konflik.

Beliau berkata sektor media di Gaza mengalami anggaran kerugian awal kira-kira US$400 juta sejak serangan bermula lebih 19 bulan lalu.

Kerugian itu termasuk kemusnahan institusi dan peralatan media seperti stesen televisyen, saluran radio, agensi berita dan pusat latihan media.

Meskipun mengalami kemusnahan dan kehilangan nyawa, sebanyak 143 institusi media masih terus beroperasi di Gaza.

Sejak perang bermula, pasukan Israel turut menyasarkan kenderaan siaran media, pemancar, puluhan kamera serta kenderaan yang telah ditandakan dengan jelas “PRESS”.

Pada 26 April, Pusat Hak Asasi Manusia Palestin menuduh Israel “dengan sengaja” membunuh wartawan di Gaza bagi menakutkan mereka dan menghalang mereka daripada melaporkan realiti perang.

Badan hak asasi bebas itu berkata peningkatan dalam pembunuhan wartawan menunjukkan niat yang jelas untuk “menyekat kebenaran dan menyembunyikan jenayah” terhadap orang awam di Gaza.

Menurut pusat itu, kebanyakan wartawan terbunuh dalam serangan udara, manakala selebihnya ditembak oleh penembak tepat.

Pusat berkenaan menyatakan bahawa pembunuhan wartawan secara sengaja merupakan “jenayah perang di bawah bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)” menurut Perkara 8 Statut Rom.

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia telah diisytiharkan menerusi resolusi PBB pada 20 Dis 1993 dan disambut setiap tahun pada 3 Mei.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan