Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) pada 3 Mei akan menjadi ujian besar pertama tahap sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri Lawrence Wong, ketika beliau menerajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah dalam era baharu kepimpinan dan pembaharuan politik.
Dengan PAP memperkenalkan barisan muka baharu dan meningkatkan usaha untuk mendekati pengundi muda, kepimpinan Wong dilihat sebagai isyarat peralihan generasi serta langkah ke arah memodenkan imej parti dan gaya tadbir urus.
“Ini akan menjadi ujian pertama terhadap populariti dan penerimaan Wong serta gambaran beliau sebagai seorang pemimpin yang berbeza daripada keluarga Lee,” kata Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Collins Chong Yew Keat.
Beliau berkata PAP turut berharap dapat memanfaatkan momentum positif di bawah kepimpinan Wong bagi merintis hala tuju baharu negara itu.
“Langkah Wong meremajakan parti dengan barisan kepimpinan lebih muda dan visi serta idea yang lebih segar mungkin menjadi perkara utama yang boleh merangsang harapan baharu, namun kebimbangan asas teras perlu ditangani secara strategik.”
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Wong telah memperkenalkan 32 calon muka baharu dan menyelia persaraan beberapa tokoh yang telah lama berkhidmat.
Walaupun langkah itu memberi isyarat kepada keterbukaan terhadap pembaharuan, namun Chong menyatakan bahawa pengundi, terutamanya golongan muda, masih mengutamakan kebimbangan sosioekonomi yang telah lama wujud.
"Langkah memperkenalkan muka baharu dan menggugurkan beberapa tokoh veteran bertujuan menarik perhatian golongan muda, namun isu sosioekonomi dan perkara asas kehidupan masih paling memberi kesan kepada mereka - khususnya perumahan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup - dan langkah bersifat simbolik ini sahaja tidak akan banyak mengubah sentimen golongan muda sekiranya isu-isu utama sosioekonomi tidak ditangani," katanya.
Wong yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Lee Hsien Loong tahun lalu, mengetuai PRU2025 dengan slogan “Dunia Berubah, Pasukan Baharu, Azam Baharu”, mencerminkan hasratnya untuk membimbing Singapura melalui tempoh peralihan domestik dan ketidaktentuan global.
Walaupun PAP kekal sebagai kuasa politik dominan, Chong berkata para pemerhati menjangkakan Parti Pekerja (WP) dan kumpulan pembangkang lain akan meraih sokongan di beberapa kawasan, sejajar dengan landskap politik Singapura yang semakin berkembang.
Pada PRU2020, PAP meraih 61.2 peratus undi -- yang terendah sejak 2011 -- apabila lebih ramai pengundi menyatakan minat terhadap suara dan perspektif alternatif.
“Isu asas kehidupan tidak hilang, malah semakin ketara. Kepimpinan Wong membawa imej segar, tetapi pengundi mahu melihat perubahan dasar sebenar, bukan sekadar perubahan wajah.
“Dasar fiskal, terutamanya kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada 7.0 kepada 9.0 peratus, masih menjadi isu hangat. Walaupun ada langkah mitigasi seperti Pakej Jaminan bernilai S$8 bilion, ramai rakyat Singapura masih merasakan tekanan ekonomi,” katanya.
Kawasan panas yang dijangka mencuri tumpuan termasuk GRC Punggol, GRC East Coast dan GRC West Coast-Jurong West, yang menyaksikan WP dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) menurunkan calon berwibawa.
“Ini bukan sekadar pertandingan populariti. Ia mengenai sama ada Wong mampu mengemudi parti dan negara keluar daripada kekangan sistemik lama. Rakyat mahu tahu sama ada beliau berani melakukan reformasi mendalam,” katanya.
Chong berkata sebarang kejayaan pembangkang tidak semestinya menandakan pergolakan politik, sebaliknya mencerminkan proses demokrasi yang semakin matang dengan pengundi kini lebih mengutamakan akauntabiliti dasar dan kepelbagaian suara.
“Punggol dan East Coast antara kawasan yang perlu diperhatikan. WP menurunkan pasukan yang berkebolehan di situ, dan sentimen di peringkat akar umbi kali ini lebih tidak menentu.
“Terdapat hasrat untuk memberi ruang kepada Wong memimpin. Tetapi kesedaran juga semakin meningkat bahawa pendekatan lama mungkin tidak lagi berkesan dalam “dunia yang berubah” -- ketika ketidaktentuan global dan ketegangan perdagangan menguji daya tahan negara,” tambah Chong.
Sementara itu, kempen PRU2025 turut menyaksikan kembalinya perhimpunan politik secara fizikal, yang dilihat sebagai peluang untuk parti-parti politik kembali berhubung secara langsung dengan pengundi.
Dengan pendekatan kempen hibrid kini menjadi kelaziman, pemerhati menjangka saluran tradisional dan digital akan memainkan peranan penting dalam membentuk cara rakyat Singapura menilai isu yang paling dekat dengan mereka.
“Audio siar atau "podcast" memainkan peranan besar pada PRU2020 dan mungkin berterusan, khususnya bagi mereka yang tidak dapat atau tidak mahu hadir ke perhimpunan politik,” kata Chong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial