Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
PELABUHAN KLANG, 15 April (Bernama) -- Hubungan pertahanan Malaysia-Jepun menandakan pencapaian penting apabila dua kapal Japan Maritime Self Defence Force (JMSDF) - JS Bungo dan JS Etajima - berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) pada Sabtu, sekali gus melancarkan program pertukaran dan latihan bersama yang lebih meluas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pelabuhan persinggahan dari 12 hingga 15 April itu merupakan sebahagian daripada misi "Indo-Pacific and Middle East Deployment 2025" (IMED25) JMSDF. Misi itu diketuai Komander Divisyen Periuk Api 3, Kapten Amano Shinsuke yang diiringi 200 pegawai dan kru.
Sebagai sebahagian daripada penglibatan itu, JMSDF menganjurkan majlis resepsi di atas kapal JS Bungo pada Isnin yang menghimpunkan anggota TLDM, pegawai tentera asing serta diplomat yang berpangkalan di Malaysia.
Turut hadir Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM Laksamana Pertama Dr Tay Yap Leong dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.
Dalam ucapannya, Amano menekankan perkongsian strategik yang semakin erat antara Jepun dan Malaysia, sambil menyatakan peranan penting Malaysia dalam merealisasikan visi “Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka” (FOIP) berikutan kedudukan strategiknya di laluan maritim utama, termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Beliau berkata rangka kerja Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun yang dilancarkan pada 2023, Malaysia telah dipilih sebagai antara penerima pertama peralatan keselamatan.
Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki pula menegaskan bahawa hubungan pertahanan dua hala terus berkembang dalam menghadapi cabaran global dan serantau.
“Pada 2023, kami telah meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif,” katanya sambil menyatakan Malaysia juga merupakan destinasi luar negara pertama untuk lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun awal tahun ini.
“Dalam bidang keselamatan, JMSDF dan TLDM telah menjalankan latihan dua hala dinamakan ‘MALPAN’ di Selat Melaka pada Februari lepas, yang menunjukkan kerjasama pertahanan erat antara kedua-dua negara,” katanya.
Menurut beliau, menyelam antara latihan diadakan semasa lawatan itu selain berharap inisiatif sedemikian akan mengukuhkan lagi perkongsian keselamatan.
Majlis resepsi itu turut menampilkan pameran teknologi oleh syarikat pertahanan dan teknologi terkemuka Jepun yang menonjolkan inovasi termaju daripada keupayaan internet kuantum dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) berkeupayaan tinggi.
Pameran itu menyerlahkan komitmen Jepun untuk memupuk kerjasama teknologi tinggi dengan Malaysia, sekali gus menawarkan gambaran masa depan teknologi pertahanan dan komunikasi yang berpotensi menyokong objektif strategik bersama di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif.
Bersempena lawatan JMSDF, Kedutaan Jepun di Malaysia turut menganjurkan Forum Industri Pertahanan Jepun-Malaysia di PKCT pada Isnin. Forum itu berfungsi sebagai platform bagi industri pertahanan kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama masa depan.
Forum itu disertai pegawai daripada Kementerian Pertahanan serta wakil 29 syarikat pertahanan dari Malaysia dan Jepun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial