Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 12 April (Bernama) -- Parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah memuktamadkan senarai calonnya bagi Pilihan Raya Umum akan datang, dengan Perdana Menteri Lawrence Wong bakal mempertahankan kerusi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee bersama barisan penyandang sedia ada.
Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP mengumumkan dalam sidang media pada Sabtu bahawa beliau akan bertanding bersama Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, Datuk Bandar Daerah Barat Laut Alex Yam, dan Hany Soh di GRC empat anggota itu.
Wong dan Yam telah berkhidmat di GRC itu sejak ia dibentuk pada 2015, manakala Zaqy dan Soh menyertai kawasan berkenaan kemudian.
Keempat-empat mereka memenangi kerusi GRC Marsiling-Yew Tee pada Pilihan Raya Umum 2020 dengan 69,813 undi atau 63.18 peratus, menewaskan calon daripada Parti Demokratik Singapura (SDP).
Terdapat dua jenis bahagian pilihan raya di Singapura – Kawasan Undi Perwakilan Perseorangan (SMC) dan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC). Dalam pilihan raya, pengundi berdaftar bagi sesebuah GRC akan mengundi satu kumpulan individu – antara tiga hingga enam orang – untuk menjadi Ahli Parlimen mereka, yang mesti sama ada daripada parti politik yang sama atau semuanya calon bebas.
Sementara itu, Wong memaklumkan bahawa PAP akan menampilkan lebih 30 calon baharu pada pilihan raya kali ini, yang perlu diadakan selewat-lewatnya November tahun ini, sebagai usaha memperbaharui dan "menyegarkan" parti dengan membawa masuk idea serta tenaga baharu.
“Ini adalah barisan calon baharu terbesar yang kami perkenalkan dalam sejarah terkini. Anda akan mengenali semua calon kami dalam beberapa hari akan datang, apabila setiap GRC dan SMC memperkenalkan calon masing-masing,” katanya.
Senarai penuh calon akan diumumkan bermula Sabtu, kawasan demi kawasan.
Wong turut menegaskan bahawa pilihan raya ini akan berlangsung dalam suasana ketidaktentuan global yang besar, dan terpulang kepada rakyat Singapura untuk memilih pasukan yang mereka percaya mampu membawa negara ke hadapan.
“Terdapat ribut yang bergabung di hadapan dan kita sedang terbang terus ke arah golakan. Dalam keadaan seperti ini, siapa yang berada di kokpit amat penting. Rakyat Singapura perlu memilih pasukan yang mereka percaya mampu mengemudi dalam ribut dan menentukan hala tuju negara,” katanya.
Beliau berkata tanggungjawab itu dipikul dengan serius memandangkan kepentingan besar yang dipertaruhkan, termasuk kedudukan Singapura di pentas dunia.
Beliau berkata rancangan PAP akan dikemukakan dalam manifesto yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Ini merupakan pilihan raya pertama Wong sebagai Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PAP. Lebih 2.75 juta rakyat Singapura layak mengundi pada pilihan raya kali ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial