Oleh Linda Khoo Hui Li
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- ASEAN dan China perlu mengambil langkah konkrit untuk mewujudkan inisiatif kecerdasan buatan (AI) secara bersama - seperti pusat penyelidikan dan program pembangunan bakat - bagi memperkasa rakyat dan membina masa depan yang lebih pintar serta saling berhubung.
Pengerusi Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS), Lee Chean Chung berkata dengan gabungan lebih dua bilion penduduk serta ekonomi yang berkembang pesat, ASEAN dan China berada dalam kedudukan terbaik untuk sama-sama mencipta masa depan AI.
“Kita perlu melaksanakan penubuhan pusat penyelidikan AI ASEAN-China, hab inovasi rentas sempadan serta program pembangunan bakat serantau.
Bayangkan satu masa depan di mana alat diagnostik AI yang dibangunkan di Beijing dapat menyokong sistem penjagaan kesihatan luar bandar di Borneo, atau pelabuhan berasaskan teknologi blok rantai di Guangxi dan Klang berkongsi data logistik secara masa nyata. Masa depan ini boleh dicapai - jika kita bekerjasama. Ayuh, kita manfaatkan revolusi AI ini,” katanya ketika sesi pleno Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China di sini, pada Jumaat.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Lee berkata Malaysia berada pada kedudukan sesuai untuk menerajui transformasi digital di rantau ini.
“Lokasi strategik Malaysia, dengan kelompok bakat yang pelbagai dan mahir dalam pelbagai bahasa, infrastruktur kukuh serta budaya kerjasama menjadikan negara ini hab semula jadi bagi pembangunan AI di rantau ini.
AI sedang mengubah cara kita hidup, bekerja dan mentadbir. Jika dimanfaatkan dengan bijak, ia mampu mencipta era baharu kemakmuran bersama, inovasi dan keadilan. Namun, jika risikonya diabaikan atau gagal diuruskan dengan bertanggungjawab, kita berisiko menambah jurang ketidaksamaan dan memperluaskan jurang digital,” katanya.
Lee berkata ASEAN dan China perlu bekerjasama untuk melabur dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), melancarkan program biasiswa AI serta memperluaskan inisiatif pertukaran belia.
Usaha ini bukan sahaja akan membantu membina tenaga kerja yang bersedia di peringkat global tetapi juga memperkukuh hubungan jangka panjang merentasi sempadan, katanya.
“Malaysia komited terhadap visi ini. Melalui CROSS, kami giat mempromosikan pembangunan dasar AI yang berorientasikan masa depan serta kerjasama serantau,” katanya.
Forum sehari itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jumaat, dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua, Lyu Yansong turut hadir.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Program sulung itu dianjurkan secara bersama oleh Bernama dan Agensi Berita Xinhua bertemakan “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China”, yang menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada pemimpin media berpengaruh, wakil-wakil, pegawai kanan kerajaan dan pakar dari seluruh rantau ASEAN dan China bagi memperdalam jalinan kerjasama dalam landskap media yang sentiasa berkembang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial