NEW YORK, 11 April (Bernama-WAFA) -- Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memberi amaran bahawa pergolakan yang berterusan di seluruh Semenanjung Gaza memberi kesan buruk kepada orang awam, mengancam keselamatan serta meragut peluang mereka untuk terus hidup, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
“Terdapat laporan harian mengenai serangan Israel yang membunuh dan mencederakan ramai rakyat awam Palestin.
“Semalam sahaja di Bandar Gaza, dilaporkan berpuluh-puluh orang terbunuh termasuk sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak – selepas sebuah bangunan kediaman diserang. Ramai lagi masih hilang di bawah runtuhan,” menurut kenyataan itu.
OCHA menegaskan bahawa orang awam perlu dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak seharusnya dijadikan sasaran, seperti dinyatakan oleh Timbalan Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq dalam taklimat media harian di New York pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kemajuan terhad dalam proses pemindahan pesakit dari Gaza.
“Semalam, seramai 18 pesakit dan hampir 30 orang pengiring dibenarkan keluar bagi mendapatkan rawatan khusus di luar negara.
“Namun, sekitar 12,500 pesakit di Gaza masih menunggu untuk dipindahkan dan WHO menyeru agar semua laluan serta sempadan dibuka untuk tujuan itu,” menurut WHO.
OCHA turut mengulangi keperluan membuka semula lintasan sempadan bagi membolehkan bekalan kritikal memasuki wilayah itu.
Dalam pada itu, Haq memaklumkan bahawa lebih 60,000 kanak-kanak kini dilaporkan mengalami kekurangan zat makanan, ketika dapur komuniti kehabisan bahan api dan bekalan makanan.
Rakan kongsi PBB juga mengenal pasti lebih 12 kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga pada minggu ini.
“Usaha sedang giat dijalankan untuk menyatukan semula mereka dengan keluarga masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial