DUNIA > BERITA

MALAYSIA UCAP TAKZIAH ATAS PEMERGIAN BEKAS PRESIDEN LAOS KHAMTAY SIPHANDONE

09/04/2025 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin pada Selasa menandatangani nota takziah di Kedutaan Laos di sini susulan pemergian bekas Presiden Laos Khamtay Siphandone, baru-baru ini.

Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Mohamad turut bertemu dengan Duta Laos ke Malaysia Thepthavone Sengmany bagi menzahirkan ucapan takziah dan simpati bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia.

“Mendiang bekas Presiden Khamtay Siphandone telah menjalankan usaha yang sangat bermakna dalam menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Laos serta kepada keamanan dan kemakmuran serantau,” menurut hantaran itu.

Menurut Agensi Berita Laos, Siphandone meninggal dunia akibat sebab semula jadi pada 2 April lepas pada usia 102 tahun.

Rakyat Laos berkumpul di That Luang Esplanade di Vientiane pada 7 April lepas untuk memberi penghormatan terakhir kepada Siphandone pada majlis pengebumian negara yang diadakan bagi menghormatinya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan