DUNIA > BERITA

"SELAMAT PULANG WIRA": KOMUNITI MYANMAR UCAP TERIMA KASIH KEPADA PASUKAN SMART MALAYSIA

09/04/2025 09:54 AM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Komuniti Myanmar di Malaysia berkumpul pada Isnin bagi mengucapkan terima kasih sempena kepulangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berikutan misi bantuan gempa bumi berbahaya pasukan itu di Myanmar.

Dalam satu kenyataan oleh Gabungan Etnik Burma Malaysia (COBEM), puluhan wakil etnik minoriti Myanmar berkumpul di ibu pejabat SMART di Pulau Meranti, Puchong, untuk memberi penghormatan kepada pasukan itu sekembalinya mereka dari Myanmar yang dilanda gempa bumi.

Komuniti itu menghadiahkan bunga dan selendang tradisional sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan pengorbanan pasukan tersebut.

Mereka juga mengibarkan sepanduk yang tertera perkataan, "Selamat pulang, wira kami - Pasukan SMART! Terima kasih kerana membantu rakyat kami" di pintu masuk ibu pejabat SMART.

Pasukan Malaysia berlepas ke Nay Pyi Taw, Myanmar pada 30 Mac, dua hari selepas gempa bumi dahsyat melanda negara bergolak itu, bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mangsa gempa bumi.

Mengharungi gegaran susulan, serangan udara tentera dan ancaman periuk api, pasukan Malaysia menjalankan operasi SAR di tengah-tengah infrastruktur yang runtuh dan sumber yang terhad.

Misi mereka berjaya menemukan tujuh mangsa, termasuk seorang yang terselamat di bawah runtuhan.

"Tiada kata yang dapat meluahkan betapa bersyukurnya kami kepada pasukan SMART kerana bertindak pantas menangani bencana ini."

"Lebih menyentuh hati kerana mereka sanggup mengorbankan sambutan Hari Raya untuk misi ini," kata James La Seng yang mewakili COBEM menyampaikan hadiah daripada komuniti itu.

Beliau menjelaskan ramai pelarian Myanmar di Malaysia tidak dapat pulang ke tanah air untuk membantu misi menyelamat atas sebab keselamatan.

James juga memuji kerajaan Malaysia atas komitmen RM10 juta (US$2.3 juta) bantuan kemanusiaan untuk Myanmar, menyatakan ia mencerminkan perpaduan serantau sebenar.

"Gerakan ihsan ini, terutamanya di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menunjukkan kepimpinan kemanusiaan sejati."

"Kami harap semua negara ASEAN lain mengikut jejak Malaysia mengutamakan nilai kemanusiaan melebihi segalanya," katanya.

COBEM dan individu Myanmar lain di Malaysia telah mengumpul lebih RM90,000 untuk menyokong usaha bantuan melalui pertubuhan bukan kerajaan yang bekerja terus di kawasan terjejas.

Sementara itu, Jaw Tu Hkawng, seorang pelarian Kachin, meluahkan penghargaan mendalam atas usaha pasukan SMART, menyatakan komuniti Myanmar di Malaysia berasa tidak berdaya ketika gempa bumi berlaku, memandangkan rakyat mereka di tanah air sudahpun menderita di bawah pemerintahan junta.

Beliau berkata komuniti tersebut sangat terharu dengan bantuan kemanusiaan dan belas kasihan yang ditunjukkan pasukan SMART ketika waktu genting itu.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), lebih 171,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar berdaftar di Malaysia, kebanyakannya melarikan diri selepas rampasan kuasa tentera 2021 yang memburukkan lagi perang saudara di negara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan