Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli
LANGKAWI, 22 Mei (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) komited untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Malaysia yang sudah sekian lama dianggap sebagai rakan kongsi keselamatan serantau.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), Duta Besar AS ke Malaysia Edgard Kagan menyentuh mengenai kerjasama ketenteraan yang kukuh antara kedua-dua negara.
Beliau berkata meskipun AS berpuas hati dengan tahap kerjasama dua hala dalam pelbagai isu keselamatan, negara itu tetap tekad untuk terus memperkukuh keupayaan bersama bagi menangani ancaman serantau yang semakin mencabar.
“Ini termasuk, kerjasama antara Pengawal Pantai kami dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, serta Kementerian Dalam Negeri, dan Polis Diraja Malaysia. Kami menyifatkan ini pencapaian membanggakan,” katanya.
Kagan berkata prinsip kedaulatan, kemakmuran dan kemerdekaan adalah selari dengan kepentingan strategik AS di rantau Indo-Pasifik, dan Washington bersedia menyokong Kuala Lumpur dalam bidang yang diperlukan.
Beliau turut mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai kepentingan usaha bersama bagi menangani pencerobohan asing ke atas wilayah dan perairan Malaysia.
“Sebanyak 14 latihan diadakan setiap tahun. Tahap kerjasama kita sangat tinggi. Ramai rakyat Malaysia yang menjalani latihan dan melanjutkan pelajaran di AS, dan rakyat Amerika yang mengunjungi Malaysia. Ini antara perkara yang membolehkan kita bersama-sama menghadapi ancaman,” kata beliau.
Kagan juga menekankan mengenai pentingnya nilai kerbersamaan dalam mempertahankan peraturan dan norma antarabangsa, khususnya ketika ketegangan maritim semakin memuncak.
“Kita boleh bekerjasama untuk menangani ancaman bersama, termasuk negara-negara yang tidak menghormati peraturan dan norma antarabangsa, tidak mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) perlu digalakkan dalam kalangan rakan kongsi di rantau Indo-Pasifik seperti yang ditegaskan menerusi ASEAN Outlook on the Indo-Pacific., serta tidak menghormati kedaulatan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai peningkatan tahap kemajuan dalam latihan bersama antara kedua-dua negara, termasuk penyertaan angkatan tentera Australia dan operasi berskala besar yang merangkumi Semenanjung Malaysia dan Borneo.
“Buat kali pertama kami telah melaksanakan penerjunan payung terjun secara bersama diadakan, pesawat berlepas dari Semenanjung Malaysia dan menjatuhkan pasukan payung terjun di Sabah, Borneo. Saya percaya semua ini mencerminkan tahap kerjasama yang semakin kompleks dan canggih yang sedang diusahakan bersama,” tambah beliau.
Kagan berkata AS berhasrat untuk memperluas kerjasama dalam bidang baharu, seperti keselamatan siber, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), serta penyelesaian aeroangkasa lestari.
Beliau berkata pemberian UAV ScanEagle oleh AS kepada Tentera Laut Diraja Malaysia menjadi contoh kejayaan pemindahan teknologi bagi meningkatkan kesedaran domain maritim.
“Penting untuk memastikan pasukan kita mengetahui bagaimana untuk menggunakan teknologi berkenaan dengan sebaik mungkin selain memahami kekuatan serta keupayaan masing-masing,” katanya sambil memuji profesionalisme dan kemahiran Angkatan Tentera Malaysia.
Mengulas mengenai kehadiran AS di LIMA'25, Kagan berkata walaupun cuaca buruk menjejaskan rancangan pertunjukan udara, kehadiran AS tetap mencerminkan komitmen ketenteraan di rantau ini.
Beliau berkata pertunjukan udara itu sepatutnya melibatkan dua pesawat pengebom B-52, 10 pesawat F-18 dan sebuah pesawat E-2D dari kapal USS Nimitz, namun aset udara statik, termasuk pesawat F/A-18 Super Hornet, MH-60, C-130 dan C-12 turut dipamerkan,
Mengenai LIMA’25, beliau menyifatkan pameran itu sebagai platform penting untuk memperlihatkan sokongan berterusan AS terhadap aspirasi pertahanan dan kepimpinan serantau Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial