AM > BERITA

Tourism Malaysia Anjur Malaysia Photo Hunt 2025, Tawar Hadiah Berjumlah RM100,000

22/05/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia menganjurkan pertandingan foto dan video Malaysia Photo Hunt 2025 bermula 1 Jun hingga 31 Ogos ini, sebagai usaha mempergiat promosi destinasi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pertandingan bertemakan pelancongan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia, pemastautin asing serta pelawat antarabangsa dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000. 

Beliau berkata peserta berpeluang memenangi empat hadiah utama iaitu RM15,000 bagi kategori foto dan RM25,000 bagi kategori video untuk pengguna telefon serta RM25,000 (kategori foto) dan RM35,000 (kategori video) bagi pengguna kamera.

Peserta Malaysia Photo Hunt 2025 perlu menghantar foto atau video secara dalam talian bersama salinan resit sebagai bukti melakukan aktiviti melancong seperti penginapan di premis berdaftar dan berlesen, pembelian tiket ke tarikan pelancongan atau tempahan tiket pengangkutan domestik dari 1 Jan hingga 31 Ogos 2025.

“Pertandingan ini antara inisiatif berimpak tinggi dalam mempergiat usaha promosi pelancongan negara secara kreatif serta menggalakkan pelawat domestik dan antarabangsa mempromosi keindahan Malaysia melalui foto dan video di saluran media sosial mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Malaysia Photo Hunt 2025 yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) di sini, hari ini.

Selain itu, Khairul Firdaus berkata Tourism Malaysia turut mengadakan program Fam Trip untuk pempengaruh tempatan dan dari negara ASEAN pada 13 hingga 15 Jun ini dengan menerima tajaan 10 buah kereta daripada Perodua bagi memperkenalkan tempat pelancongan menarik.

Pada sidang media, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Lee Thai Hung berkata Malaysia Photo Hunt 2025 juga dapat memberikan pendedahan serta promosi kepada destinasi menarik di negara ini terutama yang tidak diketahui ramai. 

“Mungkin warganegara Malaysia sendiri juga tidak tahu kewujudan lokasi-lokasi ini...mungkin ia dapat dibangunkan kelak dan kita harap program kali ini dapat memberikan pendedahan serta menawarkan lebih banyak produk baharu kepada pelancong antarabangsa,” katanya. 

Pertandingan itu menggabungkan lima jenama terkenal sebagai rakan strategik iaitu Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei.

Sebagai galakan, 2,000 penyertaan terawal berpeluang menerima hadiah misteri eksklusif daripada Tourism Malaysia.

Keputusan rasmi pertandingan dijangka diumumkan pada Oktober depan, disusuli dengan satu pameran khas untuk mempamerkan hasil karya foto dan video terpilih sebagai sebahagian kempen promosi menuju TMM2026. 

Maklumat lanjut serta borang penyertaan boleh didapati di laman rasmi Tourism Malaysia melalui pautan www.mphunt.tourism.gov.my.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan