AM > BERITA

LIMA'25: 'Toruk Makto' Satukan Sting Dengan Gunjiz Di Ruang Angkasa Langkawi

21/05/2025 11:12 PM

LANGKAWI, 21 Mei (Bernama) -- Sewaktu pesawat pejuang Su-30MKM ‘Toruk Makto’ memecah awan di ruang angkasa pada pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) semalam, ramai yang terpukau dan kagum dengan kehebatan aerobatik yang ditampilkan. 

Lebih-lebih lagi selepas media melaporkan pesawat pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan wajah baharu itu diterbangkan sendiri oleh orang nombor satu pasukan tersebut iaitu Panglima Tentera Udara (PTU) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan atau gelarannya ‘Gunjiz’. 

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa di sebelah aksi berani itu, tersembunyi satu kisah menarik iaitu kisah ‘cikgu’ dan ‘murid’ yang berkongsi ruang kokpit dan angkasa demi menjayakan acara antarabangsa dwitahunan itu.

Kolonel ‘Sting’ atau nama sebenarnya Kol Mohd Norazan Othman yang menerbangkan pesawat berkenaan bersama PTU merupakan anak didik Mohd Asghar Khan semasa berada di MiG-29N Skuadron.

“Apabila dimaklumkan saya akan beraksi dengan bekas jurulatih saya pada pertunjukan udara di LIMA’ 25 kali ini, memang saya rasa teruja dan bangga kerana dapat menerbangkan pesawat ini dengan beliau.

“Kami mengambil masa selama tiga bulan untuk menjalani latihan aerobatik dan berusaha sedaya-upaya untuk menghasilkan koreografi aksi-aksi aerobatik untuk dipersembahkan pada LIMA edisi ke-17 ini,” kata anak jati Langkawi itu dalam temubual bersama pemberita selepas menerbangkan Toruk Makto bersama PTU hari ini.

Mohd Norazan yang juga Komander Pangkalan Udara Gong Kedak berpengalaman mengendalikan pesawat pejuang Su-30MKM ini sejak 2008 dan telah terlibat dengan persembahan aerobatik dalam enam siri LIMA, namun LIMA’ 25 disifatkan lebih bermakna dan istimewa untuk dirinya.

Pada masa sama beliau turut berterima kasih kepada TUDM kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM dengan 'livery' baharu iaitu bendera Malaysia bersama-sama PTU.

Menurut laman web rasmi TUDM, Mohd Norazan dilantik sebagai Komander Pangkalan Udara Gong Kedak yang dikenali sebagai "The Home of the Flankers" kerana menjadi pangkalan utama bagi pesawat pejuang Su-30MKM pada 20 Ogos 2024.

Semalam, Mohd Asghar Khan mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi PTU pertama yang menerbangkan pesawat dalam pertunjukan udara LIMA sejak pameran itu dianjurkan pada 1991.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan