KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pengamal media tempatan dan antarabangsa mula “berkampung” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan bermula Khamis ini, dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati rata-rata pengamal media hadir untuk mengambil kad akreditasi dan membuat liputan lawatan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di KLCC yang melihat persiapan penganjuran sidang kemuncak berkenaan.
Antara kemudahan disediakan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) yang terletak di Dewan 1, KLCC ialah stesen kerja yang dilengkapi dengan palam elektrik, perkhidmatan Internet, penyediaan makanan setaraf hotel berbintang, serta informasi berkaitan menerusi Sekretariat Media ASEAN.
Seorang wartawan yang ditemui Natasha Busst dari Free Malaysia Today (FMT) berkata kemudahan dan fasiliti yang disediakan di IMC, menepati kehendak pengamal media untuk melaksanakan tugas dengan baik.
“Pada pandangan saya, yang paling penting ialah soket elektik bagi memboleh semua peralatan kami berfungsi dan tentunya sambungan Internet yang baik. Daripada apa yang saya lihat, jumlah stesen kerja disediakan agak banyak, diharapkan mencukupi untuk kegunaan pihak media yang membuat liputan sidang kemuncak ini.
“Satu lagi aspek penting ialah makanan dan kopi, sebab kami cuma mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada tugas di sini (tanpa risau tempat untuk mendapatkan makanan),” kata Natasha, yang mempunyai pengalaman dua tahun dalam bidang kewartawanan.
Sementara itu, wartawan berpengalaman Norman Goh dari Nikkei Asia berkata buat masa ini, proses pendaftaran dan urusan di IMC berjalan lancar.
“Kami jangkakan tempat ini akan penuh ketika sidang kemuncak ini, tetapi setakat ini ia berjalan lancar. Agak suka juga untuk ada kemudahan kerusi urut untuk berehat pada hari-hari yang memenatkan,” katanya.
Beliau yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman membuat liputan bagi media tempatan dan antarabangsa, berkata Sidang Kemuncak ASEAN turut menjadi platform bagi menampilkan budaya Malaysia kepada dunia, selain mesyuarat tahap tinggi berkaitan ekonomi dan kerjasama serantau.
Fahmi pada sidang media berkata setakat ini, lebih 1,200 pendaftaran media diterima, termasuk 500 media antarabangsa untuk membuat liputan ASEAN kali ini.
Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Bersempena persidangan itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan berlangsung iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan bermula Khamis ini, dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.
Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos, dengan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967 kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala kemasukan Timor-Leste untuk menjadi negara anggota masih lagi dalam proses.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial