AM > BERITA

Kerajaan Komited Perkukuh Agenda Ekonomi Bumiputera - Ahmad Zahid

21/05/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan terus menyokong serta memperkukuh dasar dan inisiatif berteraskan aspirasi ekonomi bumiputera agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata satu sesi perbincangan lanjut bersama pihak berkepentingan akan diadakan pada Jumaat ini bagi memperhalusi hala tuju dan pelaksanaan agenda tersebut.

“Sebagai sebuah negara yang menjadikan keseimbangan dan kestabilan sebagai asas pembangunan, usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum perlu digerakkan dengan komitmen menyeluruh, merentasi kementerian, agensi dan sektor swasta,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 berkata demikian selepas meneliti pembentangan kertas Sesi Permukiman Setahun Selepas KEB 2024 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron di pejabatnya hari ini.

KEB 2024 yang diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac tahun lepas telah menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera.

Resolusi itu diperoleh daripada hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek yang dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsungnya kongres berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan