LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memastikan kualiti perkhidmatannya berada pada tahap optimum sepanjang penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA'25) di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata pihaknya menyediakan 380 petugas kebersihan yang dikawal selia oleh 19 anggota penguat kuasa selain turut menggunakan teknologi terkini bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan di pulau pelancongan ini.
"Untuk sapuan jalan yang lebih intensif, pengendalian jentera mekanikal berteknologi tinggi iaitu Glutton dan Road Sweeper telah digunakan dan ditempatkan di kawasan tumpuan awam dan laluan utama sepanjang LIMA'25.
"SWCorp juga menitikberatkan aspek kebersihan di sepanjang bahu jalan di beberapa jalan utama dengan melaksanakan inisiatif memungut sampah dengan melibatkan 80 petugas," katanya kepada pemberita di Terminal Jeti Kuah di sini, hari ini.
Beliau berkata SWCorp turut mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dengan melaksanakan beberapa operasi penutupan 'hotspot' sisa haram dan kempen berani tegur orang awam.
"Dalam memupuk kesedaran masyarakat berkaitan kebersihan, SWCorp turut melaksanakan kempen kesedaran awam melalui tayangan video di lokasi tumpuan awam bagi menyampaikan mesej tentang kepentingan menguruskan sisa pepejal dengan kaedah yang betul," katanya.
Khalid berkata pihaknya juga menyediakan tong sampah berinformasi mesra pengguna dalam usaha mentransformasikan minda masyarakat ke arah kepentingan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal.
"Pelaksanaan tong berinformasi ini nampaknya menunjukkan hasil yang baik, apabila petugas memeriksa sisa buangan, didapati ada pengasingan sudah dibuat dan ini memudahkan kerja-kerja petugas kebersihan," katanya.
Sementara itu katanya SWCorp turut mempamerkan beberapa arca yang diperbuat daripada bahan buangan di ruang menunggu Terminal Jeti Kuah untuk tontonan orang ramai.
"Kami juga ada memaparkan arca diperbuat daripada bahan buangan hasil karya penduduk tempatan di lapangan terbang dan berhasrat untuk memperkembangkan lagi aktiviti ini pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial