PETALING JAYA, 20 Mei (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) berkenan menyampaikan anugerah kepada warga UM dan badan korporat pada majlis Anugerah Cemerlang Universiti (ACUM) 2024 di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 2.30 petang disambut oleh Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Baginda kemudian berkenan menyampaikan anugerah bagi kategori Anugerah Tokoh Akademik Universiti Malaya, Anugerah Penyumbang Berimpak Tinggi (Organisasi), dan Anugerah Khas Penyumbang Berimpak Tinggi (Individu).
Sultan Nazrin turut menyampaikan anugerah untuk kategori Anugerah Khas Rakan Pemikir Strategik, Anugerah Rakan Korporat Penyelidikan serta Anugerah Rakan Korporat PPUM.
Sementara itu, Noor Azuan dalam ucapannya berkata Majlis Anugerah Cemerlang ini berperanan sebagai platform untuk universiti mengiktiraf dan meraikan individu serta organisasi yang telah menyumbangkan komitmen, integriti dan kesungguhan sekali gus memperkukuh reputasi institusi.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, warga universiti terus meraikan kecemerlangan dalam pelbagai kategori, merangkumi bidang pengajaran, penyelidikan, kepimpinan, inovasi serta perkhidmatan profesional, dan sokongan.
“Lebih bermakna, sempena edisi ke-14 ACUM tahun ini, buat julung kalinya, Pusat Perubatan Universiti Malaya turut tersenarai sebagai penerima anugerah dan penggabungan ini memperkukuh sinergi antara semua jabatan,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 45 kategori anugerah diperkenalkan melibatkan 59 penerima yang terdiri daripada individu, pusat penyelidikan, dan badan korporat.
Kategori tertinggi, Anugerah Tokoh Akademik Universiti Malaya dianugerahkan kepada Prof Dr Stefanie Shamila Pillai dari Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa dan Linguistik berikutan kejayaan mendokumentasikan dan mengarkibkan Bahasa Portugis Melaka, iaitu sebuah bahasa terancam di Malaysia, menerusi Endangered Languages Archive di bawah program Endangered Languages Documentation.
Sementara itu, Noor Azuan berkata UM memperoleh geran sebanyak RM163.37 juta pada tahun lepas, meningkat sebanyak 42 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus mencerminkan keyakinan pelbagai pihak terhadap keupayaan penyelidik UM.
Sumbangan dalam bidang penyelidikan itu telah diterjemahkan melalui penghasilan sebanyak 4,325 penerbitan sepanjang 2024, meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 3,749 penerbitan pada 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial