AM > BERITA

Warga Emas Disaran Dapatkan Vaksin Influenza Secara Percuma Di Fasiliti Kesihatan Terpilih

20/05/2025 05:56 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik disaran mendapatkan vaksin influenza secara percuma menerusi program Imunisasi Influenza Warga Emas di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) terpilih.

KKM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan sehingga kini, sebanyak 65.16 peratus warga emas dengan komorbid menerima suntikan vaksin influenza menerusi program yang bermula 18 Feb lepas.

KKM memaklumkan masih terdapat 56,237 slot janji temu vaksinasi yang tersedia menerusi program itu. 

“Orang ramai boleh mendapatkan vaksin influenza di fasiliti kesihatan kerajaan sehingga akhir Ogos 2025. Warga emas yang layak disarankan agar segera membuat janji temu sebelum slot ditutup,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan perkhidmatan berkenaan disediakan di 649 Klinik Kesihatan (KK) terpilih di seluruh Malaysia dan vaksin diberikan secara percuma serta merangkumi kos vaksin, peralatan dan khidmat kesihatan berkaitan.

Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan, melayari portal rasmi atau media sosial KKM, atau hadir sendiri ke KK untuk mendapatkan maklumat lanjut,” menurut KKM.

Bagi warga emas yang tidak mempunyai akses kepada MySejahtera, mereka boleh hadir secara fizikal atau jumpa terus ke KK yang tersenarai untuk pendaftaran dan mendapatkan suntikan, tertakluk kepada slot yang masih tersedia.

KKM menggalakkan warga emas yang hadir bagi rawatan susulan penyakit kronik di KK berkenaan agar mengambil inisiatif untuk mendapatkan maklumat dan bertanya berkenaan kelayakan menerima vaksin influenza secara percuma, sekiranya belum ditawarkan.

KKM menyeru pesakit diabetes, penyakit jantung, penyakit pernafasan kronik atau tekanan darah tinggi mengambil peluang ini bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya menjelang musim jangkitan.

“Langkah ini penting bagi mencegah komplikasi serius dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital akibat jangkitan influenza dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan