AM > BERITA

Program Malaysia MADANI Perkukuh Perpaduan Kaum Siam Di Kelantan

19/05/2025 04:56 PM

KOTA BHARU, 19 Mei (Bernama) -- Program Malaysia MADANI Bersama Masyarakat Kaum Siam di Kelantan bukan sahaja menyantuni komuniti, tetapi memperteguhkan keharmonian kaum, kata Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datuk Dr Roslan Hussin.

Beliau berkata menerusi program itu, ia mampu memupuk kefahaman mendalam terhadap prinsip Malaysia MADANI yang merangkumi nilai kemanusiaan, perpaduan dan keterangkuman.

“Program ini disambut baik oleh Persatuan Siam Negeri Kelantan sebagai inisiatif Malaysia MADANI yang diperkenalkan kerajaan sebagai wadah perpaduan dan pembinaan negara bangsa yang inklusif.

“Pengiktirafan terhadap peranan kaum Siam dalam kerangka Malaysia MADANI dizahirkan menerusi Program Malaysia MADANI Bersama Masyarakat Kaum Siam,” katanya selepas merasmikan program itu yang berlangsung di Pejabat Perpaduan Daerah Tumpat semalam.

Roslan berkata program anjuran AKM Pejabat Perdana Menteri Negeri Kelantan berkenaan disambut dengan mesra dan mendapat kerjasama yang baik.

Turut hadir Pengarah AKM Pejabat Perdana Menteri Negeri Kelantan Zuryati Zakaria, Pemangku Pengerusi Persatuan Siam Negeri Kelantan yang juga ketua Komuniti Persatuan Siam Kelantan Prof Aweng Eh Rak.

“Program ini sarat dengan pelbagai pengisian yang memperkukuh nilai kenegaraan dan kebudayaan, antaranya pertandingan kuiz kahoot kenegaraan, pertandingan mewarna Malaysia MADANI, pertandingan gubahan ‘Krathong’, persembahan Tarian Tradisional Siam dan persembahan gedombak panjang.

“Sesi bual bicara antara Ketua Pengarah AKM dan komuniti Persatuan Siam Negeri Kelantan turut diadakan bagi membincangkan peranan masyarakat kaum Siam dalam pembangunan negara bangsa,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf komuniti Siam sebagai jurucakap dan Sahabat Penggerak MADANI, yang berperanan penting dalam menyemarakkan semangat kenegaraan dan memperkukuh jalinan perpaduan antara kaum.

Sementara itu, Prof Aweng turut menyuarakan penghargaan terhadap komitmen kerajaan dalam mendekati komuniti Siam secara langsung.

Beliau berkata program itu membuktikan semangat muhibah dan keharmonian antara kaum di Kelantan terus dipelihara dan diperkuat melalui pendekatan yang holistik dan menyeluruh selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. 

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin komuniti, masyarakat Siam tempatan serta penduduk sekitar yang tidak melepaskan peluang menyertai acara penuh warna-warni berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan