KOTA BHARU, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyarankan agar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) segera membuat keputusan berhubung kaedah pembaikan cerun berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah yang terjejas akibat tanah runtuh ketika Monsun Timur Laut November tahun lepas.
Timbalan menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kejadian itu, menyebabkan saluran paip masuk dan keluar loji patah, namun kerja pembaikan paip telah dilaksanakan.
Beliau berkata cabaran utama kini ialah memastikan cerun itu dipulihkan segera sebelum musim tengkujuh akan datang, yang dikhuatiri boleh menjejaskan keseluruhan struktur LRA.
“Kita telah memberi pilihan kepada AKSB sama ada melaksanakan kerja pembaikan melalui Pengurusan Aset Air Berhad atau memohon geran khas daripada Kerajaan Persekutuan. Namun keputusan perlu dibuat segera kerana risiko runtuhan susulan amat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Tapak Pembinaan Loji Rawatan Air Tanjung Mas, di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata kejadian bencana seperti banjir yang memberi kesan terus kepada aset air adalah sesuatu yang jarang berlaku, namun Kerajaan Persekutuan bersedia membantu dalam usaha pemulihannya.
Pada 28 Nov tahun lepas, cerun Bukit Remah mengalami runtuhan semasa musim Monsun Timur Laut, yang telah menyebabkan kerosakan kepada paip air mentah dan paip air terawat.
Akmal Nasrullah telah turut meninjau tapak cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Machang, yang bakal menjadi takungan air pertama di Kelantan.
Beliau berkata kementerian telah melantik perunding dan kini menunggu pengesahan lokasi rasmi daripada kerajaan negeri, bagi memulakan kerja perancangan terperinci.
Selain itu Akmal NasrullahSelain memaklumkan kerja-kerja menaik taraf LRA Tanjung Mas juga menunjukkan perkembangan positif.
“Pembinaan telaga tiub dijangka selesai hujung tahun ini sebelum fasa prapelaksanaan loji dimulakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial