AM > BERITA

Jabatan Penjara Rancang Pasar Produk Fabrik Ke Luar Negara

15/05/2025 10:27 PM

GEORGE TOWN, 15 Mei (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia merancang untuk memasarkan produk-produk yang dihasilkan banduan terutama fabrik seperti batik, songket dan tenunan ke pasaran antarabangsa termasuk di Eropah.

Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata produk-produk warisan yang dihasilkan banduan itu sangat berkualiti, dan sebelum ini turut mendapat permintaan di luar negara menerusi pameran dan ekspo yang dijalankan di sana.

“Produk-produk fabrik seperti batik, songket dan tenunan yang dihasilkan banduan atau prospek kita berkualiti serta mendapat permintaan bukan sahaja di dalam dan luar negara. Jadi, kita akan tingkatkan pemasaran di persada dunia. Sebelum ini kita sudah bawa ke beberapa negara luar.

“Kita nak pergi (bawa) ke Eropah dan negara-negara lain. Kami sedang cari ruang dan peluang itu dengan turut mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia untuk memasarkan produk-produk dari penjara yang lebih berkualiti ke persada dunia,” katanya semasa berucap pada Majlis Santapan Hi-Tea bersama isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Toh Puan Raja Noora Ashikin turut diperkenalkan produk-produk fabrik seperti batik, songket dan tenunan hasil tangan prospek serta turut diadakan persembahan fesyen daripada hasil warisan berkenaan.

Abdul Aziz berkata antara produk fabrik yang mendapat permintaan ialah Songket Dua Wajah yang mempunyai dua permukaan reka corak berbeza di depan dan belakang, yang memberi kelebihan kepada pemakai untuk menggayakan songket yang berbeza pada sehelai kain.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan