AM > BERITA

Presiden UN-Habitat: Pembaharuan Semula Bandar, Pemilikan Rumah Antara Agenda KPKT

15/05/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pembaharuan semula bandar, perumahan mampu milik dan ekonomi kitaran akan menjadi agenda utama, sekiranya Malaysia dilantik sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pembaharuan semula bandar, bukan sahaja agenda kementerian tetapi satu agenda nasional yang sangat penting.

“Landskap pembangunan negara ketika ini, 78 peratus bilangan penduduk sudah duduk dalam kawasan bandar dan menjelang tahun 2050, 85 peratus rakyat Malaysia akan duduk dalam kawasan bandar.

“Sekarang ini, lebih 200 juta penduduk dunia tinggal di kawasan tapak sampah, bangunan usang dan membahayakan... Oleh itu, pembaharuan semula bandar perlu dilakukan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini, yang membincangkan tajuk ‘UN-HABITAT: Malaysia sedia terajui pembangunan mampan global’.

Malaysia berharap akan terpilih menjadi Presiden UN-Habitat, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

Difahamkan, pengumuman rasmi mengenai siapa yang akan terpilih sebagai Presiden UN-Habitat itu akan diumumkan pada akhir bulan ini.

Nga berkata negara juga berhasrat untuk menonjolkan kepakaran dalam pemilikan perumahan mampu milik dan berkualiti tinggi.

“Malaysia mempunyai rekod cemerlang dalam penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan diterima baik oleh rakyat, hasil daripada ekosistem holistik yang menyokong pemilikan rumah, dengan kadar pemilikan rumah kini mencecah 76.9 peratus.

“Inisiatif Malaysia dipacu Dasar Perumahan Negara 2018-2025 yang menggariskan perancangan, pembangunan dan pengurusan sektor perumahan secara sistematik dan cekap,” katanya.

Nga berkata sekiranya diberi mandat sebagai Presiden UN-Habitat, Malaysia akan memimpin dialog dan membuat keputusan penting berkaitan perumahan mencukupi serta masa depan bandar yang mampan dan berdaya huni.

UN-Habitat adalah sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan untuk mempromosikan pembangunan bandar yang mampan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan