Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 15 Mei (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) terus komited menambah baik kemudahan penginapan bagi jemaah haji Malaysia musim 1446H/2025M dengan menyediakan bangunan penempatan baharu di Abraj Al-Tayseer yang terletak di Zon B, kawasan Hafai.
Pengurus Maktab 83(A) Mohd Syafiq Shawal berkata bangunan itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan moden, termasuk mesra Orang Kurang Upaya (OKU), bagi memastikan pergerakan jemaah lebih mudah, selesa dan selamat.
“Seminggu sebelum ketibaan jemaah, petugas telah melaksanakan persiapan rapi termasuk menyemak kemudahan asas di penginapan. Antara aspek yang diberi perhatian khusus ialah akses mesra OKU,” katanya ketika ditemui media di sini, baru-baru ini.
“Alhamdulillah, pihak hotel menyediakan laluan mesra OKU di semua blok iaitu Menara A, B, C dan D. Kemudahan lif dan tangga turut disediakan bagi memudahkan pergerakan jemaah, manakala ruang makan disusun atur dengan meja yang sesuai untuk keselesaan semua jemaah,” katanya.
Mohd Syafiq turut memaklumkan bahawa setiap bilik di bangunan Abraj Al-Tayseer boleh memuatkan antara tiga hingga lima jemaah, dengan setiap jemaah dibekalkan kad akses individu bagi menjamin keselamatan serta memudahkan urusan keluar masuk ke bilik penginapan.
Mohd Syafiq berkata bangunan tersebut terdiri daripada empat menara utama iaitu Menara A, B, C dan D, dengan lebih 600 bilik penginapan.
“Setiap maktab dikendalikan enam petugas, menjadikan seramai 24 petugas maktab berada di bangunan Abraj Al-Tayseer. Selain itu, seramai 24 petugas kebajikan turut ditugaskan, bersama 20 petugas perubatan yang berkhidmat di dua klinik maktab serta satu pusat penjagaan harian (daycare) di Menara A,” katanya.
Mohd Syafiq berkata setiap maktab juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk klinik kesihatan, kaunter khidmat pelanggan, kaunter bimbingan ibadat, mesin pengeluaran wang (ATM), kemudahan dobi, serta kedai runcit bagi memenuhi keperluan harian jemaah haji.
"Bagi memastikan kesihatan dan kebajikan jemaah terjamin, Tabung Haji turut menyediakan kaunter farmasi dan perkhidmatan ubat-ubatan, selain bilik operasi 24 jam bagi menangani sebarang pertanyaan atau kecemasan,” katanya.
Beliau berkata penempatan baharu di Abraj Al-Tayseer merupakan antara inisiatif berterusan TH dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji bagi membantu mereka menunaikan ibadah dengan lebih sempurna serta memperoleh haji yang mabrur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial