AM > BERITA

Jenazah Konstabel Akmal Wafi Selamat Dikebumikan

14/05/2025 01:53 PM

KULIM, 14 Mei (Bernama) -- Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Konstabel Akmal Wafi Annuar yang maut dalam kemalangan melibatkan lori pasukan itu semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Sungai Limau, Lunas dekat sini kira-kira 11 pagi tadi.

Pengebumian anggota FRU berusia 28 tahun itu dihadiri kaum keluarga serta kenalan, dengan jenazah Allahyarham diusung oleh pasukan FRU.

Allahyarham dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham, Annuar Yusof.

Terdahulu van membawa jenazah tiba di rumah keluarga Allahyarham di Taman Pegaga, Lunas pada 6.30 pagi sebelum jenazah disolatkan di Masjid Tunku Abdul Rahman Putra.

Allahyarham Akmal Wafi merupakan antara sembilan anggota FRU Unit 5, berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, Perak yang maut selepas lori FRU dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi semalam.

Annuar, 55, berkata arwah yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu menyertai FRU Unit 5 pada awal tahun ini selepas tamat latihan hujung tahun lepas.

"Saya sekeluarga reda dengan pemergiannya… Saya terharu, arwah baru sertai PSP (FRU).. tetapi sudah diberi penghormatan yang amat sangat. Kami sekeluarga rasa bangga dengan arwah.

“Hari ini saya tengok dia sebagai seorang 'wira keluarga',” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian Ahmad Wafi di Tanah Perkuburan Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Sungai Limau, Lunas dekat sini, hari ini.

Beliau berkata anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, namun sebelum mengikuti operasi, Ahmad Wafi ada berbual dengan adiknya Wardina menerusi panggilan video, memaklumkan akan bercuti dan pulang ke rumah pada Selasa (semalam).

"Dalam berseloroh, dia minta adiknya mengambil dia di Ipoh. Saya difahamkan, dia mohon cuti dua hari.

"Dua perkara yang saya tengok, dia dapat cuti dan dia juga gembira motosikalnya yang dibaiki sudah siap. Dia gembira sangat,” katanya.

Annuar berkata Allahyarham merupakan seorang yang tegas dan berdisiplin, malah sejak menyertai FRU, sangat mementingkan kebersihan rumah.

"Sebelum dia sertai PSP, dia kerja swasta dengan gaji yang agak besar. Nak kata minat atau tidak, saya tak pasti, mungkin rezeki dia. Bila dia jadi anggota beruniform, dia lebih berdisiplin dan menjaga integriti," katanya.

Annuar seterusnya menzahirkan rasa syukur dengan kelancaran proses pengebumian serta mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan FRU Unit 5 yang banyak membantu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan