AM > BERITA

Bapa Tiada Ganti - Anak Tiri Anggota FRU

14/05/2025 09:40 PM

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- "Dia hanya ayah tiri, tapi dia jaga kami macam anak sendiri," menurut Qaidah Thaqifah Mohd Yuslee, 23, mengenangkan kasih sayang ikhlas bapa tirinya, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif yang terkorban dalam kemalangan meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan semalam. 

Qaidah Thaqifah berkata dia dan dua adiknya Qamarina Batrisyia, 21, dan Qarisya Safea, 17, telah menganggap bapa tiri yang dipanggil 'pakcik' itu seperti ayah kandung mereka. 

"Kami takkan dapat pengganti seperti arwah yang menjaga kami bertiga dan emak yang strok sejak lapan tahun lalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di kediaman mereka di Kuarters FRU Unit 5 Sungai Senam, di sini hari ini. 

Antara kebaikan bapa tirinya itu menurut Qaidah Thaqifah, beliau sentiasa meluangkan masa untuk menghantar Qarisya Safea ke latihan angkat berat setiap minggu walaupun sibuk bekerja.

Kali terakhir bertemu, arwah juga membelikan ayam gepuk yang diinginkannya sebelum dia pulang ke  universiti. 

Sementara itu, Haswati Rosdi, 44, berkata suaminya yang dinikahi lapan tahun lepas memberinya semangat apabila dia disahkan mengalami strok pada 2018 dan menjaganya sehingga dia dapat berjalan semula beberapa tahun lalu. 

"Walaupun berbeza (usia) 11 tahun, saya kagum dengan kasih sayangnya menjaga saya dan tiga anak-anak saya, dia menanggung saya anak-beranak, saya terasa sungguh kehilangannya," katanya hiba. 

Haswati yang tidak dikurniakan anak bersama arwah berkata sehari sebelum kejadian suaminya bersikap pelik termasuk tidak mahu mencium dahinya ketika keluar bekerja. 

"Kali terakhir kami bersarapan berdua sebelum tengah hari itu dia keluar untuk tugasan di Teluk Intan, dia ada mengirim swafoto dalam kenderaan yang dinaikinya sebelum kata nak pulang pada 8.30 pagi, tetapi 15 minit selepas itu dia sudah tiada," katanya. 

Ibu Haswati, Zamilah Mohd Nor, 65, berkata Damarrulan seorang menantu yang sangat baik dan tidak berkira. 

"Dia sanggup menjaga Along (Haswati) yang strok dan cucu saya, saya terlalu sedih dia tiada lagi," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan