AM > BERITA

KPM Maklum Sepenuhnya Isu Capaian Internet Rendah Di Kawasan Sekolah

09/05/2025 03:19 PM

KALABAKAN, 9 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum sepenuhnya mengenai capaian internet rendah atau tiada capaian langsung di kawasan sekolah, terutama selepas peluncuran dasar pendidikan digital, kata menterinya Fadhlina Sidek

Beliau berkata isu yang dihadapi, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar itu tidak boleh dipinggirkan dan sentiasa menjadi keutamaan KPM, justeru Program Tindak Susul Parlimen dilaksanakan, dengan inisiatif turun padang ke lokasi terkait bagi melihat sendiri permasalahan itu.

"Kita (KPM) ada komitmen besar dan bersama kita Kementerian Komunikasi, sentiasa memberikan kita pertolongan dari segi memastikan capaian internet atau kesalinghubungan menjadi keutamaan di kawasan sekolah.

"Kita pun ada banyak program dan juga bantuan sokongan daripada Kementerian Komunikasi untuk melengkapkan ekosistem digital," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja dua hari Program Tindak Susul Parlimen yang berakhir hari ini.

Pada program itu, Fadhlina yang diiringi Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy melawat dua sekolah di dalam kawasan Parlimen Kalabakan iaitu Sekolah Kebangsaan Ulu Kalabakan, Sekolah Kebangsaan Kalabakan serta satu tapak projek pembinaan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Umas.

Sementara itu Fadhlina berkata pihaknya akan memastikan setiap sekolah memiliki kelengkapan smartboard serta tablet bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Hal ini untuk menggalakkan dan memeriahkan proses pembelajaran anak-anak di kelas, supaya lebih interaktif, di samping memastikan anak-anak kita tidak ketinggalan, Sabah juga antara negeri yang dari segi aspek penggunaan digital itu sangat baik di peringkat guru-gurunya. 

"Kita mahu  guru-guru ini dengan kemahiran yang ada dapat memastikan anak-anak muridnya juga bersama-sama mendapat fasiliti dan kemahiran digital ini, saya ingat kita ada pusat kegiatan guru yang boleh digunakan sepenuhnya untuk program serta aktiviti digital ini," katanya.

Fadhlina seterusnuya mengingatkan para guru supaya mengambil perhatian berkaitan penerapan etika penggunaan teknologi dan digital agar anak-anak berhemah serta dapat membezakan antara keperluan pendidikan dengan perkara yang menjejaskan akhlak.

Sementara itu Andi Muhammad Suryady menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada usaha Kementerian Komunikasi dalam memastikan rakyat mendapat akses internet berkualiti terutama kawasan sekolah.

Beliau berkata perkhidmatan jalur lebar melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dapat menarik jaringan telekomunikasi terutama di kawasan luar bandar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan