AM > BERITA

PMR 2025: Pelajar SK Tanjung Batu Keramat Tujukan Lagu ‘Azizah’ Kepada PM Anwar

08/05/2025 04:28 PM

TAWAU, 8 Mei (Bernama) -- Sebanyak 61 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu Keramat di sini bakal menampilkan persembahan muzik dan lagu-lagu klasik menggunakan alat muzik tradisional, antaranya angklung pada Program MADANI Rakyat 2025 Sabah.

Guru Perdana SK Tanjung Batu Keramat Mariyanti Sardi berkata antara lagu yang dipersembahkan pelajar itu bertajuk Azizah, dendangan asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang ditujukan khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda kasih sayang mereka kepada Perdana Menteri ke-10.

Mariyanti yang juga ketua kumpulan muzik itu berkata pelajar tahun lima Nurul Taqwa Safri akan mendendangkan lagu itu bersama medley beberapa lagu klasik lain antaranya Bujang Lapok dan Lenggang Kangkung.

Beliau berkata selain angklung iaitu alat muzik terbanyak digunakan, persembahan lagu pelajar sekolah itu juga bakal diiringi alat muzik ukelele, kalimba, gitar, tamborin, shaker dan keyboard selain memainkan muzik instrumental menggunakan alat muzik berkenaan.

‘’Kami mengambil masa dua minggu berlatih di sekolah untuk persembahan PMR kali ini. Kami juga mempersembahkan lagu khas untuk PM (Anwar) yang kami berlatih khas iaitu lagu Azizah.

“Persembahan ini kami gabungkan pelajar tahap satu, dua dan penglibatan inklusif 11 murid PPKI (Program Pendidikan Khas Inklusif) yang amat berbakat dalam muzik,’’ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

PMR 2025 Sabah bakal diadakan bermula esok sehingga Ahad ini di Dataran Majlis Perbandaran Tawau dan PM Anwar dijadual merasmikan majlis penutup program itu.

Mariyanti berkata peluang mengadakan persembahan pada PMR 2025 Sabah di hadapan khalayak ramai terutama pemimpin negara mampu membina keyakinan dan jati diri tinggi para pelajar.

‘’Ini juga menonjolkan potensi dan bakat dalam diri mereka sendiri. Dari segi muzik mereka boleh ikut tempo dan boleh ikut apa yang diajar. Ini juga sesuatu yang inklusif untuk membentuk murid PPKI,’’ katanya.

Sementara itu, Guru PPKI SK Tanjung Batu Keramat Siti Norhazila Hamzah berkata latihan kumpulan itu dimulakan dengan 11 pelajar PPKI, sebelum pelajar aliran perdana tahap satu dan dua menyertai latihan seterusnya membentuk satu persembahan inklusif pelajar sekolah berkenaan.

“Bila murid pendidikan khas ini sudah mahir (persembahan lagu), baru kita bergabung dengan murid perdana. Kita juga ada murid autisme yang genius muzik dan boleh main keyboard serta pelbagai instrumen muzik. Kita juga ada murid istimewa lain seperti palsi serebrum dan sebagainya,’’ katanya.

Beliau berkata pemilihan lagu untuk persembahan itu difokuskan kepada lagu-lagu rakyat, sesuai untuk kanak-kanak serta keluarga, dan diingati masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Nurul Taqwa berkata peluang mendendangkan lagu-lagu klasik pada PMR 2025 Sabah menjadi pengalaman yang bermakna bagi dirinya dan bangga kerana dapat mempersembahkan lagu Azizah bersama rakan-rakan.

‘’Kami berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan persembahan kami pada tahap terbaik. Seronok buat persembahan dengan kawan-kawan kerana semuanya berbakat,’’ katanya.

Pelajar SK Tanjung Batu itu dijadual membuat persembahan pada Persembahan Murid Dengan Tema Perpaduan Generasi MADANI di Pentas Utama PMR 2025 Sabah esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan