AM > BERITA

UPSI Miliki Kemudahan Sukan Air Bernilai RM1 Juta Bertaraf Antarabangsa

09/05/2025 11:57 AM

IPOH, 9 Mei (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini mengorak langkah ke hadapan sebagai pusat rujukan dan pembangunan sukan kayak bertaraf antarabangsa menerusi kemudahan sukan air canggih bernilai RM1 juta dibangunkan di Marina UPSI.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pembangunan tasik, penyediaan pelbagai  peralatan kayak terkini, bahan rujukan khusus dan sokongan kepakaran sains sukan menjadikan universiti itu sebagai destinasi utama untuk latihan, penyelidikan serta pengurusan acara sukan air negara.

“UPSI bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal, tetapi turut dilengkapi dengan kekuatan akademik dan kepakaran teknikal. 

“UPSI mempunyai empat pakar kayak negara berkhidmat di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan yang bersedia membimbing dan memberi khidmat nasihat kepada atlet, jurulatih serta organisasi sukan,” katanya. 

Md Amin berkata demikian ketika berucap merasmikan Regatta Kayak UPSI kali ke-16 di Gerbang Suria, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim baru-baru ini.

Beliau berkata dengan adanya kajian saintifik, bahan rujukan terkini dan aplikasi teknologi sukan air, UPSI bersedia menjadi pusat latihan bersepadu untuk sukan kayak serta platform penganjuran kejohanan tempatan dan antarabangsa.

“Hasrat kami bukan sekadar melahirkan atlet cemerlang, tetapi juga membangunkan sukan kayak menerusi pendekatan holistik merangkumi latihan, sains sukan, pengurusan dan pendidikan,” katanya.

Selain itu, Md Amin berkata UPSI kini sedang mendapatkan pengiktirafan rasmi daripada Persekutuan Kanu ASEAN sebagai satu daripada venue utama pembangunan dan kejohanan sukan kanu serta perahu naga di negara ini.

“Apabila diiktiraf, UPSI akan menjadi antara universiti di Malaysia mempunyai status pusat pembangunan sukan kayak dan perahu naga bertaraf antarabangsa,” katanya.

Md Amin berkata UPSI menawarkan peluang pendidikan kepada atlet melalui program akademik daripada peringkat diploma hingga doktor falsafah (PhD), termasuk laluan khas Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL Q) untuk jurulatih berpengalaman.

“Kami percaya sukan dan pendidikan harus bergerak seiring. Melalui laluan khas ini, jurulatih berpengalaman lebih 20 tahun boleh menyambung pengajian menerusi program sarjana pendidikan dalam bidang sains sukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan