GEORGE TOWN, 8 Mei (Bernama) -- Tun Ramli Ngah Talib menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan di Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini malam ini.
Ketibaan Ramli bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah disambut Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Majlis dimulakan dengan solat maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin dan doa selamat dipimpin Mufti Pulau Pinang Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman.
Turut hadir barisan kepimpinan kerajaan negeri antaranya Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Datuk Rashidi Zinol; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Zairil Khir Johari serta kira-kira 500 hadirin lain.
Pada 1 Mei lepas, Ramli, 84, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Pinang kesembilan dalam satu majlis penuh istiadat di Dewan Sri Pinang, di sini, menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Pada 24 April, Ramli menerima surat cara pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei 2025, daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Istana Negara.
Ramli pernah menyandang beberapa jawatan penting di peringkat Persekutuan dan negeri, antaranya sebagai Menteri Besar Perak kelapan selama 17 tahun bermula 1982 hingga 1999, Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2000 hingga 2004 dan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial