AM > BERITA

Ombak Festival Kembali Meriahkan Desaru Coast 12 Sept Ini

08/05/2025 10:52 AM

JOHOR BAHRU, 8 Mei (Bernama) -- Ombak Festival sekali lagi memeriahkan Desaru Coast di Kota Tinggi dari 12 hingga 14 Sept ini, dengan menampilkan pengalaman penuh warna yang meraikan kepelbagaian komuniti global, budaya serta kreativiti Asia Tenggara.

Pengarah Ombak Festival Karina Ridzuan berkata sebagai acara yang sentiasa dinantikan, edisi kali ini memfokuskan kepada bakat serantau merentasi muzik, persembahan, seni, sajian makanan dan pengalaman mesra keluarga menerusi Ombak Kids, bersempena Tahun Kepengerusian ASEAN. 

“...untuk tahun kedua ini, kami tampil dengan visi yang lebih berani, skop lebih luas dan jiwa Asia Tenggara yang lebih menyerlah. 

“Selain itu, fokus kami juga adalah untuk mewakili yang terbaik dari ASEAN dengan menggabungkan ikon global dan bakat serantau bagi mementaskan pengalaman luar biasa merangkumi muzik secara langsung serta ekspresi seni terunggul, selepas berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung tahun lepas,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata program anjuran destinasi peranginan bertaraf antarabangsa, Desaru Coast sebelum ini memenangi pelbagai anugerah dan lebih banyak tarikan ditampilkan untuk pengunjung pada tahun ini antaranya penampilan legenda funk, George Clinton and Parliament Funkadelic.

Tidak ketinggalan kemunculan istimewa penyanyi dan penulis lagu serta pelakon kelahiran British Joss Stone mempersembahkan pratonton istimewa album baharunya yang bakal dilancarkan pada tahun ini. 

“Kami juga amat teruja untuk membawakan persembahan eksklusif Simply Red di Asia Tenggara sempena ulang tahun ke-40 mereka. Selain itu, turut memeriahkan pentas adalah Flight Facilities iaitu duo DJ popular yang akan membuat penampilan sulung mereka di Malaysia,” katanya.

Barisan artis hebat ASEAN yang dijangka turut memeriahkan acara ialah Phum Viphurit dari Thailand, Joe Flizzow, SonaOne dan Ismail Izzani, veteran ska Malaysia Gerhana Skacinta, The Pinholes dari Singapura serta Diskoria dan Tanayu dari Indonesia.

Beliau berkata antara keunikan lain Ombak Festival tahun ini ialah The Ultimate Weekend khusus untuk semua lapisan masyarakat yang menampilkan pelbagai pilihan makanan dan minuman, barisan seni yang mantap serta program khas Ombak Kids bagi kanak-kanak.

“Kejayaan tahun lepas menyaksikan beberapa kegemaran ramai kembali untuk edisi 2025 iaitu kepakaran panggangan Andrew Walsh dan Carbon KL dari segi kulinari dan aktiviti membuat wau bersama Go Fly Kites serta kehadiran patung festival setinggi 10 kaki Meera dan Fiz di bawah program Ombak Kids. 

“Daripada sudut seni pula, Segaris Art Centre sekali lagi berganding bahu bersama pelajar-pelajar sekolah tempatan. Jika tahun lepas mereka menampilkan seni arca, tahun ini pula mereka bakal memperkenalkan teknik cetakan blok,” katanya. 

Karina berkata untuk jangka masa panjang pihaknya berhasrat menjadikan acara berkenaan sebagai festival wajib hadir di Asia Tenggara selari dengan usaha membina momentum menjelang Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Orang ramai yang berminat menghadiri festival itu boleh mendapatkan pas awal menerusi laman sesawang http://www.ombakfestival.com/ atau Ticketmelon. 

Harga pas bagi 12 Sept (Jumaat) berharga RM200, manakala bagi 13 Sept (Sabtu) dan 14 Sept (Ahad) pula masing-masing RM300, sementara pembelian pas untuk dua hari iaitu Sabtu dan Ahad berharga RM550, serta pas untuk tiga hari bagi Jumaat, Sabtu dan Ahad hanya berharga RM650.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan