AM > BERITA

Lima Individu Dikompaun Beri Makan Kepada Burung Merpati Di Tempat Awam - MBPP

06/05/2025 06:19 PM

GEORGE TOWN, 6 Mei (Bernama) -- Lima individu dikompaun Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana sengaja membuang sisa makanan dengan tujuan memberi makan kepada burung merpati di tempat awam, Ahad lepas.

MBPP dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini memaklumkan pihaknya mengambil tindakan tegas penguatkuasaan terhadap mereka mengikut Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang memperuntukkan kompaun RM250 bagi setiap kesalahan, manakala tindakan mahkamah sekiranya individu terbabit masih ingkar serta pesalah yang tidak membayar kompaun untuk kesalahan itu.

"Walaupun MBPP telah melaksanakan hebahan dan pendidikan awam, masih terdapat individu tidak mengendahkan nasihat dan sengaja memberi makanan kepada merpati,” menurut kenyataan itu.

MBPP memaklumkan statistik pada bulan lepas menunjukkan 818 ekor merpati telah berjaya ditangkap menerusi operasi kawalan populasi merpati berjadual di seluruh kawasan “hotspot”.

MBPP melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran pada bulan lepas juga memusnahkan 36 sarang burung gagak.

“Sebagai langkah preventif berterusan, MBPP telah menyusun atur tindakan pemantauan serta operasi kawalan populasi merpati untuk dilaksanakan setiap hari mengikut lokasi yang telah ditetapkan dalam senarai pemantauan ketat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan