AM > BERITA

MBPP Roboh, Sita Tiga Premis Kendalian Warga Asing

03/05/2025 11:58 AM

GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil tindakan tegas dengan merobohkan dan menyita tiga premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam operasi pada 1 Mei lepas.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook MBPP, premis pertama melibatkan perniagaan cuci kereta tanpa lesen di daerah Timur Laut, dengan penguatkuasaan yang diambil adalah penyitaan peralatan perniagaan dan perobohan struktur premis berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil berdasarkan Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Turut terlibat membantu tindakan penguatkuasaan berkenaan ialah pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, di daerah Barat Daya, MBPP memaklumkan pihaknya menyita peralatan dan barangan dagangan di sebuah premis yang menjalankan aktiviti penjualan dan sembelihan ayam tanpa kebenaran.

Selain itu, tindakan penguatkuasaan turut dikenakan terhadap sebuah kedai runcit dan tindakan diambil mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, dengan menyita peralatan serta barangan perniagaan. 

“Kesemua peralatan perniagaan dan barangan jualan yang disita dibawa ke stor Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk tujuan penyimpanan, dokumentasi dan tindakan selanjutnya serta operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa,” menurut MBPP.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan