KUANTAN, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu, bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merangsang ekonomi setempat.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata perancangan itu, akan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam radius 15 kilometer daripada setiap stesen ECRL.
“Dengan pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) serta Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) secara strategik dan mampan, kerajaan negeri meletakkan sasaran menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL sebagai pusat pertumbuhan baharu yang inklusif dan berdaya saing,” katanya.
Wan Rosdy berkata perkara itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, semalam.
Beliau berkata empat pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberi tanggungjawab untuk merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD di kawasan masing-masing, yang melibatkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM).
“Komponen pembangunan yang dikenal pasti meliputi pelbagai aspek seperti pembinaan Pangsapuri Pahangku, pelabuhan darat, pusat pentadbiran dan pusat komersial, hotel dan kompleks perniagaan, pembangunan bercampur, institusi dan kemudahan masyarakat, utiliti dan infrastruktur perumahan dan sebagainya,” katanya.
Wan Rosdy berkata antara projek yang akan dilaksanakan oleh PBT ialah pembinaan terminal bersepadu dan gerai berangkai di Bentong, pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Paya Besar, pembangunan bandar pintar di Daerah Temerloh, serta pembangunan hab maritim di Tanjung Gelang.
Beliau berkata pihaknya yakin bahawa pelaksanaan projek tersebut akan memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan mobiliti dan akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar.
“Inisiatif menyeluruh ini merupakan satu langkah proaktif dan bersifat masa hadapan yang akan menyokong pembangunan negeri Pahang secara holistik, seimbang dan mampan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial