AM > BERITA

Gagal Isytihar Projek Catat Peratus Tertinggi - CIDB

06/05/2025 05:24 PM

MELAKA, 6 Mei (Bernama) -- Sejumlah 157 notis dikeluarkan dan 34 kes ketidakpatuhan direkodkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Melaka sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Mohammad Farris Abdul Aziz berkata notis dan ketidakpatuhan adalah menerusi 535 pemeriksaan yang meliputi akreditasi, bahan binaan, personel binaan, kontraktor serta pengisytiharan projek.

"Hasil pemeriksaan juga merekodkan kes kegagalan mengisytiharkan projek mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 47.06 peratus manakala mengaji pekerja binaan mahir tanpa akreditasi mencatatkan 29.69 peratus dan personel binaan (10.94 peratus).

"Sebanyak 64 kertas siasatan juga telah dibuka, majoriti melibatkan kegagalan mengisytiharkan projek," katanya pada sidang media sempena Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) 1/2025 selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah tapak pembinaan sebuah kilang di Bachang di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang tahun ini juga sejumlah 1,578 projek diisytiharkan melalui sistem CIMS,  dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.6 bilion selain sebanyak 121 tapak binaan dan 170 kontraktor diperiksa.

"Daripada jumlah ini 82 kontraktor telah dikenakan kompaun menerusi kesalahan di bawah Akta 520 iaitu perakuan pendaftaran kontraktor, pendaftaran personel binaan, akreditasi pekerja mahir, pengisytiharan projek dan perakuan pematuhan standard (PPS),” katanya.

Mengulas mengenai OPB yang dilaksanakan hari ini, beliau berkata ia membabitkan enam agensi iaitu Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

"Kita dapati kadar pematuhan oleh lapan syarikat, termasuk lima kontraktor tempatan dan tiga kontraktor asing memuaskan namun hasil semakan personel binaan pekerja asing, lima daripada 107 pekerja didapati masih belum melengkapkan pemilikan kad hijau," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan