AM > BERITA

Tahap Pematuhan Perintah Paparan Ubat Memuaskan - Dzulkefly

04/05/2025 02:54 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Tahap pematuhan terhadap Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei lepas adalah memuaskan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa tiada denda atau kompaun akan dikenakan terhadap farmasi dan klinik swasta dalam tempoh tiga bulan sekiranya gagal melaksanakan pemaparan ubat kerana tumpuan Kementerian Kesihatan adalah pada aspek pendidikan terlebih dahulu.

“Tiga bulan diperlukan bagi semua pihak untuk lebih jelas dan lebih tahu mengenai hal yang terkait serta bagaimana untuk membuat paparan ubat.

“Saya sempat ke tiga farmasi dan klinik swasta semalam dan mereka telah menunjukkan kepada saya kaedah yang mereka gunakan untuk paparan ubat, termasuk dalam bentuk kod respons pantas (QR),” katanya pada sesi taklimat media Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025-2030 di sini hari ini.

Dzulkefly berharap semua fasiliti kesihatan swasta dapat bersama-sama KKM dalam menjayakan perintah berkenaan. 

“Saya yakin semua akan turut serta dalam perkara ini. Pihak kami juga akan mengadakan libat urus dengan pengamal perubatan swasta (GP) untuk kita membantu dalam aspek pematuhan,” katanya.

Bermula 1 Mei 2025, semua premis klinik dan farmasi komuniti wajib memaparkan harga ubat yang dijual di premis masing-masing kepada pengguna. 

Arahan itu dikuatkuasakan menerusi pewartaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 yang menetapkan semua ubat perlu disertakan dengan tanda harga yang jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.

Mengenai larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di Terengganu, Dzulkefly menyambut baik usaha itu dan KKM terus mempertingkatkan penguatkuasaan dan kawal selia menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Media melaporkan kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan vape di semua premis seluruh negeri mulai 1 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan