AM > BERITA

Mangsa Banjir Di Sabah Meningkat Mendadak Kepada 1,243 Orang

03/05/2025 05:13 PM

KOTA KINABALU, 3 Mei (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah melonjak mendadak apabila seramai 1,243 orang daripada 375 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan setakat jam 4 petang ini berbanding 392 mangsa daripada 126 keluarga pada 8 pagi tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, daerah  Beaufort  menjadi lokasi terbaru terjejas apabila 116 mangsa daripada 38 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon.

Sementara itu, daerah Sook kekal mencatat angka tertinggi apabila 1,127 orang daripada 337 keluarga kini berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak banjir melanda kawasan berkenaan.

Antara PPS terlibat ialah Dewan Datuk Ellron Agin yang menempatkan 494 mangsa, Dewan Masyarakat Sook (241), Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 (206), Dewan Kampung Ansip Tengah (117) dan 69 mangsa di Balai Raya Kampung Molosok Dalit.

"Setakat ini, sebanyak  sembilan kampung di Sook dan dua kampung di Beaufort terjejas akibat bencana banjir yang melanda sejak semalam," kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, Sipitang turut dilaporkan mula dinaiki air, menjadikannya antara daerah baharu yang kini berdepan musibah banjir.

Sebuah PPS dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah, namun proses pemindahan masih berlangsung dan jumlah mangsa sedang dikemas kini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan