MELAKA, 28 April (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merakamkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas pemerintahan satu tahun Seri Paduka Baginda pada 31 Jan lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata prinsip raja dan rakyat berpisah tiada dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang sentiasa menekankan nilai toleransi dan sentiasa hormat-menghormati yang menjadi asas keharmonian negara bagi memastikan perpaduan negara tidak tergugat.
“Patik merafakkan doa yang ikhlas dan kudus ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Tuanku bersama Tuanku Raja Permaisuri Agong terus memperoleh keafiatan dengan penuh kedaulatan dan kebesarannya,” katanya ketika mengusulkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sempena sidang DUN Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rauf yang mewakili kerajaan negeri dan rakyat Melaka turut merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada 14 April lepas.
“Kehilangan Tun Abdullah adalah kehilangan besar buat negara. Sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima, beliau meninggalkan legasi kepimpinan berhemah dan dikenang sebagai pemimpin berjiwa besar yang mengutamakan perpaduan, kestabilan dan pembangunan insan," katanya.
Sementara itu beliau berkata Melaka perlu menjadi negeri terawal menyesuaikan diri dengan realiti baharu ekonomi global yang fokus kepada ekonomi hijau, ekonomi digital dan ekonomi teknologi tinggi.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri mengambil langkah awal dengan mempermudah urusan perniagaan menerusi insentif Melaka Industrial Booster (MIB) selain memperkemas infrastruktur digital dan fizikal.
“Paling penting, kita persiapkan bakat anak negeri untuk ekonomi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata lawatan rasmi Presiden China ke Malaysia baru-baru ini menjadi isyarat jelas kepada pelabur antarabangsa yang yakin dengan kestabilan negara dan melihat Melaka sebagai pintu masuk baharu ke rantau ASEAN khususnya dalam sektor teknologi hijau dan mobiliti pintar.
“Atas sebab itu juga, kerajaan negeri bertindak pantas apabila menerima undangan mengadakan lawatan kerja ke Shanghai pada minggu lepas bagi membuka jalan kepada kerjasama dalam industri kenderaan elektrik (EV).
“Melaka tidak boleh jadi penonton di tengah perubahan global. Kita mesti jadi pemain utama… bijak, tangkas, berani dan bersedia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial