TAPAH, 26 April (Bernama) -- Kadar peratusan mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada sebelah pagi masih rendah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata setakat 11 pagi tadi, hanya 26.36 peratus daripada 31,281 pengundi berdaftar, menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Walaupun jumlah peratusan mengundi agak rendah pada pagi ini, SPR tetap optimis bahawa peratusan mengundi bagi PRK DUN Ayer Kuning akan mencapai sasaran 70 peratus,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor di sini, hari ini.
Justeru, beliau menyeru pengundi berdaftar supaya keluar lebih awal memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Ramlan berkata proses pengundian setakat ini, berjalan lancar dan berharap momentum sedemikian dapat kekal hingga pusat pengundian ditutup 6 petang ini.
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran telah dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial