AM > BERITA

Pasangan Pengantin Baharu Tunai Tanggungjawab Mengundi Di Ayer Kuning

26/04/2025 06:09 PM

TAPAH, 26 April (Bernama) -- Sibuk dengan majlis persandingan yang berlangsung pada hari ini, sepasang pengantin baharu tetap hadir melaksanakan tanggungjawab selaku pengundi, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pekerja spa Norhidayanty Yaziz, 29, berkata dia tidak pernah menyangka tarikh perkahwinan yang dipilih menjadi hari bersejarah buat dirinya dan pasangan, seorang penyelenggara elektrik Khairul Shafaeez Idris, 35, apabila ia jatuh pada hari yang sama dengan hari pengundian.

“Saya dapat tahu tentang tarikh PRK ini sama dengan tarikh perkahwinan kami, sebulan yang lepas. Mulanya memang terkejut, ditambah ini merupakan kali pertama saya mengundi.

“Bagaimanapun, atas dasar kewajipan saya tetap hadir menunaikan tanggungjawab memilih seorang wakil rakyat bagi mewakili suara kami di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tiga, di sini, hari ini.

Terdahulu, pasangan pengantin berkenaan tiba di pusat mengundi tersebut ditemani keluarga terdekat kira-kira 4.30 petang.

Norhidayanty yang bekerja di sebuah spa di Lembah Klang berkata majlis persandingan yang dilangsungkan di Kampung Tersusun Batu 33, Temoh tetap berlangsung meriah walaupun, kebanyakan daripada jemputan merupakan pengundi di DUN tersebut.

“Saya berterima kasih kepada ahli keluarga dan saudara mara terdekat, kerana mereka banyak membantu dalam mempersiapkan majlis ini. Alhamdulillah, majlis berlangsung lancar walaupun pada mulanya kami risau ramai dari jemputan sibuk dengan urusan PRK,” katanya.

Menyentuh harapan selaku pengundi di DUN Ayer Kuning, mereka mengharapkan wakil rakyat yang terpilih nanti boleh menjadi pemudah cara dan mengutamakan hak serta kepentingan rakyat.

“Saya mahu wakil rakyat yang dipilih nanti setanding atau lebih baik daripada wakil rakyat sebelum ini yang kita ketahui mesra rakyat serta kerap membantu rakyat dalam pelbagai hal di DUN ini,” kata Norhidayanty.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan