AM > BERITA

PRK Ayer Kuning: 34.06 Peratus Mengundi Setakat 12 Tengah Hari

26/04/2025 12:51 PM

TAPAH, 26 April (Bernama) -- Sebanyak 34.06 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat baharu setakat 12 tengah hari tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kesemua 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran dibuka serentak 8 pagi tadi bagi membolehkan 31,281 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini.

Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka hingga 6 petang, kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang. 

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian mendapati proses pengundian berjalan lancar dalam keadaan cuaca mendung pada awal pagi, namun beransur cerah menjelang tengah hari.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan. 

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung. 

Pilihan raya ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek, dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan