AM > BERITA

Laporan Prestasi 27 KSU Dibentang Awal Bulan Depan - KSN

25/04/2025 12:20 AM

SEPANG,24 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menjangkakan laporan prestasi 27 Ketua Setiausaha (KSU) akan dibentangkan kepadanya pada awal bulan depan.

Shamsul Azri berkata pembentangan laporan prestasi itu adalah selaras dengan usaha untuk menginstitusikan sistem pemantauan perkhidmatan awam supaya lebih dinamik dan berasaskan data.

Beliau berkata laporan itu merupakan penanda aras penting dalam pelaksanaan sepenuhnya Penilaian Prestasi Demerit (DEEP), iaitu satu mekanisme kawalan strategik bagi meningkatkan tahap akauntabiliti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam.

“DEEP melangkaui penilaian tahunan tradisional kerana ia menyediakan sistem yang lebih adil dan fleksibel menerusi pemantauan prestasi secara berterusan secara bulanan, suku tahunan dan separuh tahunan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat bersama Ketua Setiausaha Negara mengenai Agenda Nasional Tadbir Urus Baik di sini, hari ini.

Antara yang hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan pemimpin kanan perkhidmatan awam, perancang dasar dan pakar tadbir urus.

Shamsul Azri berkata DEEP turut memperkenalkan elemen “remerit” yang bukan sahaja menghukum prestasi rendah, malah memberi ganjaran kepada penambahbaikan positif serta pematuhan konsisten terhadap penanda aras tadbir urus.

Katanya mekanisme DEEP yang menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), dibina berasaskan dua komponen utama iaitu demerit dan remerit, menerusi tiga dimensi penilaian prestasi iaitu Generik (75 peratus), Fungsi (15 peratus) dan Tinjauan (10 peratus).

Dimensi Generik merangkumi tujuh penunjuk utama seperti kecekapan perbelanjaan mengurus dan pembangunan, status pelaksanaan projek, projek tertangguh serta pelaporan salah laku.

Dimensi Fungsi pula menilai tiga program berimpak tinggi setiap kementerian, manakala Dimensi Tinjauan bersandarkan maklum balas dalaman warga kerja.

Menurutnya program perintis DEEP melibatkan 13 ketua setiausaha telah dilaksanakan pada 2024 dengan pelaksanaan sepenuhnya di semua kementerian bermula Januari tahun ini.

Katanya, sesi libat urus bersama pegawai kementerian turut diadakan pada suku pertama bagi menyelaras fasa pelaksanaan.

“DEEP terbukti menjadi pemangkin kepada pelaksanaan ARPA. Ia merangkumi aspek pengurusan kewangan, integriti, kepimpinan serta keberkesanan program dan bertindak sebagai faktor pendorong ke arah perkhidmatan awam yang lebih telus dan berasaskan hasil,” tegasnya.

Beliau turut menekankan beberapa inisiatif utama lain di bawah ARPA yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap tadbir urus baik, termasuk Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS).

“Inisiatif ini bukan sekadar slogan, sebaliknya adalah pembaharuan struktur yang bakal menentukan bagaimana perkhidmatan awam beroperasi dan dan berprestasi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan