AM > BERITA

Pasangan Kembar Raih Semua A, Akui Miliki Kelebihan Dalam Belajar

24/04/2025 07:40 PM

GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Tiga pasangan kembar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul di sini berkongsi kegembiraan apabila meraih keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Dua daripada tiga pasangan itu merupakan kembar seiras, dengan kesemua mereka mengakui bahawa memiliki pasangan kembar memberi kelebihan termasuk dalam pelajaran.

Nurul Aliya Najwa Muhammad Rusli, 18, berkata beliau sering mengulang kaji pelajaran dengan kembarnya Nurul Ain Nafisha, terutamanya enam bulan sebelum peperiksaan SPM bagi mendapat keputusan cemerlang. 

“Kami tidak pernah berpisah, malah sentiasa sekelas sejak kecil. Kami selalu mengulang kaji bersama kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, menjadikan kami sebagai pelengkap antara satu sama lain,” katanya selepas pengumuman keputusan SPM hari ini. 

Pasangan kembar seiras itu memperoleh 6 A+ dan 2 A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Pendidikan Seni Visual dan Perniagaan.

Selain itu Nurul Aliya Najwa berkata mereka juga berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kerana mahu menjadi peguam.

Bagi pasangan K.Abirami dan K.Abinaya, 18, yang jelas gembira kerana memperoleh keputusan semua A bagi sembilan subjek dalam peperiksaan itu, mereka turut menjadikan amalan belajar bersama selain menghadiri kelas tuisyen untuk cemerlang dalam pelajaran.

Anak pasangan doktor dan pensyarah itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai hadiah kepada penat lelah mereka belajar selain mendedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapa serta guru, kerana banyak membantu mereka.

“Lebih mudah belajar apabila mempunyai saudara kembar kerana boleh berbincang mengenai pelajaran di rumah. Kami juga dapat berkongsi banyak perkara kerana belajar di sekolah sama,” katanya. 

Abirami bagaimanapun berkata mereka akan 'berpisah' selepas ini bagi mengejar cita-cita sendiri iaitu jurutera untuk dirinya manakala Abinaya berhasrat menjadi doktor haiwan, namun dia berharap mereka masih dapat melanjutkan pelajaran di universiti sama. 

Sementara itu pasangan kembar berbeza jantina Teh Zhe Huei, 18, berkata dia dan kakaknya Teh Zhee Yee sentiasa bersaing secara sihat kerana mereka mahu memperoleh keputusan cemerlang bagi membanggakan ibu bapa. 

“Kami mempunyai minat berbeza namun kami boleh mengulang kaji pelajaran bersama-sama kerana mengambil subjek sama dalam SPM. Kami saling bertanya bagi mata pelajaran yang lemah dan cuba bersaing secara sihat antara satu sama lain,” katanya. 

Di JOHOR, pasangan kembar Chai Zhi Heng dan Chai Yun Zhen, 18, yang memperoleh 9A berkata mereka mengulang kaji pelajaran setiap hari termasuk semasa cuti supaya kekal fokus dalam persediaan menghadapi SPM. 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru itu berkata terhutang budi dengan saudara perempuan kembarnya kerana sering mengambil berat dan memberi semangat untuk belajar bersungguh-sunggguh. 

“Agak sukar untuk saya bangun malam bagi mengulang kaji pelajaran, jadi adik (Yun Zhen) sering mengejutkan saya. Dia juga sering mengingatkan saya supaya jangan malas belajar selain selalu berkongsi pengetahuan tambahan dalam sesuatu subjek,” katanya.

Zhi Heng berkata mereka juga berhasrat dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam program Asasi Pintar bagi mencapai cita-cita menjadi doktor. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan