SEREMBAN, 24 April (Bernama) -- Keputusan menukar aliran pada saat akhir ternyata membawa tuah kepada R. Pravieen, 18, apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V itu berkata dia memutuskan untuk menukar aliran daripada sains kepada akaun dan ekonomi pada pertengahan Julai ketika di Tingkatan Empat.
"Pada awalnya saya mengambil aliran sains tetapi setelah beberapa peperiksaan keputusan saya tidak begitu baik, jadi saya minta untuk tukar aliran...atas nasihat cikgu dan sokongan semua saya bersyukur dapat menguasai subjek baharu itu walaupun semasa peperiksaan percubaan hanya dapat 5A," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Anak tunggal kepada pasangan bekas akuantan itu berkata dia bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan dan mahu menyambung pelajaran dalam jurusan tersebut.
Seorang lagi calon cemerlang SPM, Kauthar Arifin,18, berkata rutin bangun tengah malam melaksanakan solat hajat antara penyumbang kejayaanya dengan peroleh 8A dalam aliran akaun dan ekonomi di sekolah yang sama.
Anak bongsu daripada lima beradik itu, berkata kejayaannya juga hasil amalan mengulang kaji pelajaran secara konsisten, memberi tumpuan sepenuhnya semasa dalam kelas selain sentiasa menghormati dan mendengar nasihat guru yang disifatkan elemen penting untuk mencapai kejayaan.
“Saya tidak sangka dapat keputusan cemerlang seperti ini, semalam pun berasa ragu-ragu untuk datang ke sekolah bimbang keputusan tidak baik, Alhamdulillah semuanya cemerlang," katanya yang menasihatkan pelajar tidak ponteng kelas supaya tidak ketinggalan.
Sementara itu, Nur Aminah Hessa Mohd Ashik,18, berharap kejayaan memperoleh keputusan 9A akan menjadi contoh terbaik kepada adiknya.
"Sebagai anak sulung saya mahu jadi contoh terbaik dalam keluarga sekali gus membanggakan ibu ayah. Alhamdulillah hari ini tertunai semuanya dan berharap terus kekal cemerlang pada masa akan datang," kata pelajar aliran sains.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial