PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Telefon bimbit, televisyen dan radio kini boleh diakses di 99.5 peratus isi rumah di Malaysia, menurut Laporan Survei Penggunaan dan Capaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) oleh Individu dan Isi Rumah 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata survei itu juga menunjukkan capaian kepada internet merekodkan peningkatan iaitu 96.8 peratus (2023: 96.4 peratus) dan penggunaan telefon tetap mencatat sedikit peningkatan kepada 27.9 peratus (2023: 27.4 peratus).
“Bagaimanapun capaian kepada saluran televisyen berbayar menunjukkan penurunan ketara kepada 67.1 peratus, berbanding 77.0 peratus pada 2023.
“Peningkatan konsisten dalam capaian dan penggunaan ICT menggambarkan usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh keterangkuman digital merentasi semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melihat kepada capaian mengikut lokaliti, isi rumah di kawasan bandar merekodkan kadar capaian lebih tinggi bagi kebanyakan penunjuk ICT, dengan hampir liputan penuh bagi telefon bimbit, radio dan televisyen serta capaian internet mencecah 98.8 peratus.
Di kawasan luar bandar, capaian kepada televisyen ialah 98.8 peratus, telefon bimbit (98.7 peratus) dan radio (98.4 peratus) kekal tinggi, manakala capaian kepada internet meningkat kepada 90.3 peratus.
Berhubung kecekapan ICT, Mohd Uzir berkata lebih 90 peratus individu menunjukkan kecekapan dalam tugasan asas seperti menyalin atau memindahkan fail, menggunakan fungsi salin dan tampal serta menghantar e-mel dengan lampiran.
“Dalam kalangan belia berusia 15 ke 24 tahun, kemahiran ini lebih menonjol dengan hampir semua indikator melebihi 80 peratus,” katanya.
Beliau berkata penggunaan internet semakin meningkat di Malaysia didorong oleh gaya hidup digital yang aktif, dengan penyertaan dalam media sosial kekal sebagai aktiviti utama internet dengan 99.7 peratus pengguna aktif di platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Aktiviti media berada di tempat kedua dengan 94.3 peratus individu melaporkan memuat turun atau menstrim kandungan seperti muzik, video atau permainan online sementara 93.0 peratus menggunakan internet untuk mencari maklumat mengenai barangan dan perkhidmatan, mencerminkan kebergantungan yang semakin meningkat terhadap platform digital dalam urusan harian serta membuat keputusan pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial