AM > BERITA

International Space Port Di Pahang Dijangka Siap Seawal Tiga Hingga Lima Tahun

24/04/2025 01:41 PM

KUANTAN, 24 April (Bernama) -- Pembangunan International Space Port di Pahang dijangka siap seawal tiga hingga lima tahun akan datang, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib. 

Beliau berkata tapak pelancaran roket antarabangsa pertama di Asia Tenggara itu, dijangka mewujudkan 2,350 peluang pekerjaan selain memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan peluang penyelidikan.

“Dari segi kelebihan, saya dimaklumkan antara kawasan tapak yang optimal (dibangunkan) adalah di garisan Khatulistiwa di sekitar pantai timur khususnya Pahang dan Sabah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) mengenai jangkaan masa untuk menyiapkan tapak projek berkenaan dan peluang pekerjaan yang dapat direalisasikan daripada pembangunan projek tersebut. 

Mohamad Nizar berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah menandatangani surat hasrat (Letter of Intent) bersama China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) dan Lestari Angkasa Sdn Bhd bagi menjalin kerjasama strategik dalam pembangunan sektor teknologi angkasa di Malaysia pada 15 April.

“PKNP dan Lestari Angkasa Sdn Bhd juga akan mengadakan lawatan kerja ke Wenchang Space City, Hainan, China pada Mei ini sebagai sebahagian daripada kajian kebolehlaksanaan dan kerja merancang pembangunan projek International Space Port di Pahang,” katanya. 

Sementara itu Mohamad Nizar berkata kerajaan negeri sedang menilai dua cadangan bagi membangunkan bandar aeroangkasa atau aerospace city yang meliputi kawasan Gebeng, Kuantan dan Pekan.

Disember lepas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dilaporkan berkata Pahang dan Sabah antara negeri disenaraikan untuk dibangunkan sebagai tapak pelancaran roket membawa satelit ke angkasa lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan